Hari penting bagi Najib Razak

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Najib Razak menyifatkan rayuan akhir yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya esok sebagai hari penting bagi dirinya.

Beliau akan cuba mengetepikan sabitan, hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik Syarikat SRC International Sdn Bhd dalam prosiding selama sembilan hari sehingga 26 Ogos ini

Berucap pada Konvensyen dan Pelancaran Jentera Wanita Barisan Nasional (BN), Najib menegaskan, walau apapun berlaku, beliau akan tetap meneruskan perjuangan bersama parti.

“Walaupun hari ini saya patut sibuk dengan peguam-peguam saya, tetapi saya pilih untuk bersama dengan Wanita.

“Ini yang saya buat kerana saya nak Wanita memahami sebagai seorang pemimpin, saya tetap bersama-sama berjuang bersama Wanita.

Biarpun apa mereka buat, biarpun kezaliman kepada saya, isteri saya, keluarga saya, (tetapi) saya tetap istiqamah tidak akan undur seinci pun.

“Saya akan tetap berjuang bersama-sama wanita BN, dan kita pastikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) milik BN,” katanya ketika berucap di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Prosiding esok dijangka dimulakan dengan pendengaran permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu membabitkan hakim bicara, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Sekiranya permohonan itu gagal, prosiding akan diteruskan dengan rayuan akhir itu.

Pada 25 Julai lalu, Ahli Parlimen Pekan itu melalui sepucuk surat telah menamatkan perkhidmatan firma guaman, Tetuan Shafee & Co, peguam, Muhammad Shafee Abdullah dan seluruh pasukan pembelaannya.

Najib kemudian melantik firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim, Suflan TH Liew & Partners (ZIST) bagi menggantikan Tetuan Shafee & Co. manakala Hisyam Teh Poh Teik dilantik bagi menggantikan peguam, Muhammad Shafee.

Pada 29 April lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada bulan Ogos iaitu pada 15 hingga 25 Ogos ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Pada 8 Disember 2020, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib.

Related posts

Leave a Comment