7.8 juta pengundi baharu PRU15

KUALA SELANGOR 14 Ogos – Sebanyak 7.8 juta pengundi baharu dijangka bertambah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, kata Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Daripada jumlah itu, 3.8 juta mewakili golongan muda berusia 18 tahun, sekali gus menunjukkan jumlah pengundi baharu mewakili 34 peratus daripada keseluruhan pengundi atau tiga daripada sepuluh pengundi ialah pengundi baharu.

Tengku Zafrul berkata, kuasa Undi 18 pada PRU-15 membolehkan golongan muda diberi peluang terbabit secara aktif dalam politik, seterusnya membuat keputusan mengenai masa depan negara.

“Lebih ramai golongan belia selepas ini boleh menjadi pemimpin sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Pelaksanaan (Undi 18) juga mampu melahirkan bakal pemimpin yang matang dan berkualiti yang mana kematangan seseorang tidak boleh diukur dari segi usia, sebaliknya boleh ditampilkan melalui perilaku dan cara berfikir.

“Atas faktor itu, hak mengundi diturunkan kepada individu yang mencapai umur 18 tahun kerana mereka mampu menyumbang kepada sosioekonomi masyarakat dan bertanggungjawab penuh kepada diri sendiri,” katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Belia Negara peringkat Selangor 2022 di Stadium Utama Kuala Selangor, malam tadi.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, katanya, anak muda di negara ini hanya mahukan keadilan saksama untuk semua.

“Penurunan umur minimum mengundi dilihat mampu memberi lebih masa kepada golongan muda mendekati dan mendalami arena politik dan kepimpinan negara.

“Apabila terdapat ramai wakil golongan muda dalam arena politik sudah tentulah suara generasi muda ini akan lebih didengari,” katanya.

Related posts

Leave a Comment