Denda dinaikkan bendung lumba haram

TANJONG 9 Ogos – Denda lebih tinggi akan dikenakan manakala ibu bapa akan turut dipertanggungjawabkan terhadap anak-anak yang terlibat dalam aktiviti lumba haram dan mat rempit di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Isham Ishak, berkata langkah itu akan  dikenakan melalui pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk kali ketiga.

Antara cadangan dalam pindaan itu ialah menaikkan kadar denda minimum daripada RM300 kepada di antara RM5,000 hingga RM10,000, hukuman penjara terhadap mat rempit, dan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak bawah usia 18 tahun.

Selain tindakan terhadap penonton aktiviti berkenaan, tindakan tegas juga akan diambil terhadap pemilik bengkel yang terbabit dalam ubah suai motosikal bagi kegunaan lumba haram.

Katanya, pindaan itu susulan kejadian lima maut dalam kemalangan membabitkan motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, bulan lalu dan perbincangan di antara kementerian serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini bagi membendung kegiatan itu secara komprehensif.

Hasil perbincangan membawa kepada langkah penyelesaian jangka pendek serta jangka panjang iaitu pemindaan akta berkenaan dan sepatutnya dibentang di Parlimen pada Oktober, namun tidak sempat kerana laporan penuh kemalangan baru sahaja diterima.

“Sebelum ini kita sudah buat pindaan akta bagi menangani isu pemandu mabuk serta dilihat berjaya mengurangkan kes itu dan pindaan APJ 1987 juga akan capai matlamat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Menurut Isham, modul pelaksanaan pelan jangka masa pendek membabitkan operasi secara menyeluruh bagi membanteras isu itu akan dimulai di Pulau Pinang.

Pasukan bertindak khas (task force) akan ditubuhkan bagi tempoh tiga bulan membabitkan pelbagai agensi termasuk PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk masyarakat.

“Kita lihat kalau ada pilihan tertentu yang perlu diambil tindakan termasuk bekerjasama dengan pihak insurans bagi mengenalpasti pelumba haram yang terbabit untuk dikenakan premium lebih tinggi,” katanya.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga dicadangkan diberi kuasa sita bengkel atau tarik balik lesen sekiranya ada maklumat bahawa bengkel itu mengeluarkan motosikal bagi lumba haram.

Pendekatan lain adalah dengan mengesan gambar suspek yang terbabit lumba haram atau penonton serta menahan mereka sama ada di tempat kerja atau rumah.

Related posts

Leave a Comment