Jangan gentar hadapi ‘ribut,badai’

SINGAPURA 9 Ogos – Perdana Menteri, Lee Hsien Loong berkata Covid-19  bukanlah krisis terakhir bagi Singapura kerana lebih banyak ribut dan badai menanti di hadapan.

“Namun jabgan gentar,” katanya dalam Perutusan Hari Kebangsaan 2022 semalam.

“Selagi kita kekal bersatu dan teguh, kita boleh memastikan negara kita aman dan terjamin, membina ekonomi yang lebih makmur, dan membentuk masyarakat inklusif dan boleh dibanggakan, untuk tahun-tahun akan datang.

“Usah berhenti mengimpikan dan membina Singapura yang kita idamkan, ketika kita mengukuhkan kekuatan untuk menghadapi sebarang musibah,” katanya dalam ucapan dari Taman Di Persisiran atau Gardens by the Bay.

Bercakap mengenai impian dan memandang ke hadapan, beliau menarik perhatian mengenai taman berkenaan yang meraikan ulang tahunnya yang ke-10.

Lee berkata taman itu mengambil masa beberapa dekad untuk disiapkan dan menyebut tempat beliau berdiri semasa berucap itu dahulunya adalah laut terbuka.

“Kira-kira 50 tahun lalu, kita mula tebus guna tanah di laut di sini untuk mewujudkan Marina South dan pusat bandar masa depan.

“Beginilah cara kita di Singapura… sentiasa berani mengejar impian, menetapkan sasaran seterusnya dan mencari penyelesaian yang lebih baik dan peluang-peluang baharu.

“Kami melihat dan merancang ke hadapan bukan sahaja untuk lima atau 10 tahun akan datang, tetapi untuk 30 atau 50 tahun akan datang dan seterusnya,” kata beliau.

Menyentuh tentang persekitaran geopolitik, Lee berkata “jalan di hadapan pastinya penuh berliku dan  besar kemungkinan dunia tidak akan kembali ke tahap inflasi dan kadar faedah rendah seperti yang dinikmati sejak beberapa dekad lalu.

Katanya, laluan Singapura ke hadapan tidak mudah dengan pelbagai cabaran geopolitik dan ekonomi yang sedang dihadapi.

Menurut Lee, hubungan AS-China yang semakin tegang, dengan beberapa isu yang sukar dibendung,  serta pencerobohan Rusia ke atas Ukraine juga memberi kesan yang mendalam kepada dunia dan Singapura.

“Singapura akan berhadapan saingan dan ketegangan yang sengit di rantau sekitarnya,” katanya.

Sementara itu, melihat kepada persekitaran ekonomi, Lee berkata meskipun ekonomi Singapura kembali pulih selepas pandemik, unjurannya tidak begitu baik.”

“Sebelum Rusia menyerang Ukraine, wabak itu telah mengganggu rantaian bekalan, dan inflasi sudah meningkat. Tetapi pencerobohan itu telah memburukkan kedua-duanya.

“Harga makanan dan tenaga meningkat di seluruh dunia,” katanya.

Lee berkata beliau “tahu bahawa kos sara hidup menjadi perkara utama yang difikirkan semua orang” dan “kerajaan melakukan segala yang diperlukan untuk membantu rakyat Singapura menghadapi kenaikan harga.”

Antara lain, Lee berkata kerajaan telah mengetatkan dasar kadar pertukaran dan mengukuhkan dolar Singapura, untuk mengurangkan inflasi yang diimport.

“Kerajaan juga bersedia untuk melakukan lebih banyak lagi untuk membantu rakyat Singapura jika keadaan menjadi lebih buruk. Tetapi realiti asasnya adalah keadaan ekonomi antarabangsa telah berubah,” katanya.

Amanat Hari Kebangsaan itu juga disampaikan dalam bahasa Melayu oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Related posts

Leave a Comment