Pemuda UMNO teruskan keberanian

KUALA LUMPUR 14 Jan. –  Mohamad Hasan hari ini mengingatkan Pemuda UMNO di bawah kepemimpinan Dr Muhamad Akmal Saleh supaya menjadi pembangkang yang konstruktif dari dalam kerajaan.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, selaras dengan mandat diberikan kepada sayap parti itu sebagai ‘Pendesak, Pemantau, Penjaga Bangsa dan Loceng Kecemasan’, Pemuda perlu meneruskan keberanian mereka.

“Jika ada dasar Kerajaan yang merugikan Melayu atau menekan rakyat, Pemudalah yang akan bangkit dan menyanggah terlebih dahulu.

“Rampas naratif ‘Hero Rakyat’ daripada pembangkang. Buktikan Pemuda UMNO yang paling efektif menjaga Melayu, bukan mereka yang hanya pandai main sentimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan serentak Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, malam ini.

Mohamad juga sedar bahawa Dr Akmal dan Pemuda telah menjeritkan hal isu rakyat dalam Konvensyen baru-baru ini.

“Ada pihak yang kata Pemuda biadab…. bagi saya, tidak.Tugas Pemuda memang ‘pembingit’ dan ‘rebellious (memberontak)’. Tugas Pemuda menjadi loceng kecemasan. Dr Akmal, Pemuda, teruskan keberanian kamu,” katanya.

Mohamad turut menggariskan mandat khusus melalui arahan operasi sayap dengan Wanita sebagai ‘Ejen Ekonomi Rumah Tangga’, manakala Puteri sebagai `Jentera Perang Maya’.

“Kepada ibu-ibu sekalian, saya amanahkan tugas Penyelesai Masalah Ekonomi… audit dapur rakyat. Jika bantuan kerajaan tercicir, Wanita UMNO lah yang tolong dapatkan. Jika harga barang naik, desak Menteri bertindak.

“Biar rakyat kata parti lain sibuk berpolitik, tapi bila beras habis, Wanita UMNO yang sampai dulu,” katanya.

Mengenai peranan Puteri, Mohamad mengingatkan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mengajar satu perkara iaitu parti kalah di TikTok.

“Puteri, medan perang kamu di skrin telefon. Saya mahu Puteri menjadi Unit Risikan Data. Ubah persepsi anak muda. Masuk ke kolej-kolej, masuk ke ruang digital. Naikkan isu kesihatan mental, isu gaji bermaruah.. pastikan Undi18 nampak UMNO sebagai kawan yang memahami,” katanya.

Katanya , amanat disampaikan beliau perlu dipegang ketat memandangkan parti akan masuk ke gelanggang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) sebagai Barisan Nasional (BN).

“Kita akan bina kekuatan sendiri… kita akan tawarkan kepada rakyat satu pasukan yang dominan dan mengayomi.Kita mahu menang bukan atas ihsan orang, tapi kerana rakyat percaya UMNO satu-satunya parti yang tahu dan yang paling berpengalaman, mengurus negara ini.

“Pulanglah para perwakilan ke cawangan masing-masing. Asah pedang, rapatkan saf. Kita bersiap sedia bukan untuk jadi kawan, juga bukan untuk jadi penumpang. Kita bersiap sedia untuk kembali menjadi induk semula di tanah air ini. Dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment