Pencarum KWSP keluar RM155 bilion

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Dewan Negara hari jni diberitahu, sebanyak RM155 bilion caruman ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan menerusi pelaksanaan empat fasiliti pengeluaran berkaitan Covid-19.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah, berkata ia terdiri daripada RM145 bilion amaun yang dikeluarkan oleh ahli di bawah empat program pengeluaran dan hampir RM10 bilion daripada program pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerja.

“Tahap simpanan ahli KWSP rendah dan sangat membimbangkan terutamanya setelah perlaksanaan empat fasiliti pengeluaran berkaitan COVID-19 iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra serta Pengeluaran Khas; dan pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerja bagi tempoh 27 bulan (April 2020 sehingga Jun 2022),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris mengenai langkah untuk menyelamatkan ahli pencarum KWSP yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

Mohd Shahar berkata, setakat 30 Jun 2022, seramai 6.62 juta ahli atau 52 peratus daripada 12.78 juta keseluruhan ahli KWSP berumur di bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

Daripada bilangan itu, 4.99 juta ahli atau 75 peratus ahli Bumiputera.

“Terdapat seramai 3.2 juta ahli berumur di bawah 55 tahun yang berada pada tahap simpanan yang amat kritikal iaitu kurang daripada RM1,000 iaitu 2.58 juta ahli atau 81 peratus daripada mereka ahli Bumiputera,” katanya.

Sebagai perbandingan relatif, Mohd Shahar berkata, jumlah ahli Bumiputera iaitu seramai 8.22 juta orang adalah 64 peratus daripada 12.78 juta keseluruhan ahli KWSP yang berumur di bawah 55 tahun.

“Ini menunjukkan kebanyakan ahli Bumiputera adalah tertumpu dalam kalangan ahli yang mempunyai tahap simpanan KWSP yang rendah berbanding kaum lain,” katanya.

Related posts

Leave a Comment