Eksport ayam belum dibenarkan

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Kerajaan buat masa ini tidak lagi membenarkan eskport ayam bagi menjamin bekalan dalam negara betul-betul stabil dengan harga jualannya munasabah, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Annuar Musa.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Mutilmedia, berkata, keputusan untuk menarik balik larangan eksport ayam perlu berpandukan kepada penilaian menyeluruh selepas meneliti semua aspek rantaian bekalan ayam negara.

Annuar mengakui ketika ini harga jualan ayam di negara jiran yang lebih tinggi menarik minat penternak tempatan untuk mengeskport barangan itu ke negara luar, bagi menjana lebih keuntungan.

“Keutamaan kita adalah rakyat tempatan. Oleh kerana ayam adalah barangan yang diperlukan setiap keluarga, kerajaan ingin mengekalkan dasar supaya harga ayam rendah seperti mana yang ada sekarang.

Buat masa ini, tidak ada sebarang keputusan untuk mengubah ketetapan sebelum ini, yang mana eksport belum boleh dibenarkan dan sistem bekalan ayam, hendaklah berjalan seperti mana yang sedia ada,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Berkuat kuasa 1 Jun lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melaksanakan sekatan eksport ayam membabitkan bekalan ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan.

Namun, beberapa hari lalu, media melaporkan, penternak ayam memohon supaya sekatan eksport ternakan itu diteliti semula selepas penternak ayam kecil dan sederhana kini dilaporkan terpaksa menjual ayam pada harga rugi, dalam masa yang sama tetap tidak dapat menampung kos.

Annuar berkata, mekanisma mengawal tahap kedudukan bekalan ayam tidak boleh dibuat secara ‘flip flop’ kerana ia memerlukan masa bagi memastikan bekalan ternakan itu dan barangan lain, berada pada tahap terkawal.

Katanya, jawatankuasa perlu memantau secara menyeluruh aspek pembekalan ayam ini, termasuk bekalan ayam yang masuk, ayam yang diternak dan bekalan yang dikeluarkan.

“Kita akan melihat sejauh mana dakwaan bekalan sekarang adalah berlebihan. Kita tahu faktor harga mestilah berasaskan kepada bekalan yang cukup, barulah harga boleh kembali stabil atau turun.

“Saya khuatir kalau kita berlumba-lumba untuk mengeksport, mengambil peluang harga mahal di negara lain, ia sekali lagi akan menjejaskan harga tempatan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment