40 karya seni Tunku Azizah di Galeri Prima

KUALA LUMPUR 8 Ogos –  Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Synthesis di Galeri Prima, Balai Berita The New Straits Times Press, Bangsar hari ini.

Turut berangkat, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sempena pameran, yang bermula 1 Ogos lalu hingga 18 September ini, lebih 40 rekaan batik dihasilkan Raja Permaisuri Agong, dipamerkan di galeri tersebut.

Galeri Prima adalah galeri seni persendirian pertama mendapat perkenan Tunku Azizah untuk mempamerkan karya eksklusif Baginda, batik cetakan blok iaitu antara teknik pembuatan batik tradisional tertua di negara ini.

Seri Paduka Baginda turut memperkenankan Galeri Prima mempamerkan 12 karya salah seorang pelukis batik terbaik negara, Ramli Malek.

Beberapa karya yang dipamerkan adalah sebahagian daripada koleksi seni persendirian Seri Paduka Baginda dan tidak pernah dipamerkan kepada umum sebelum ini.

Pameran itu turut menampilkan 42 karya seni 37 artis tempatan terkenal dan baharu seperti Chuah Thien Teng, Chuah Seow Keng, Yusof Ghani, Abdullah Jones, Fauzin Mustafa, Mastura Abdul Rahman, Zaharin Muhammad dan Raja Azhar Idris.

(Foto FB Istana Negara)

Related posts

Leave a Comment