Perintah berkurung ESSZONE dilanjut

KOTA KINABALU 8 Ogos – Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok, dilanjutkan sehingga 23 Ogos depan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah,  Idris Abdullah.

Beliau berkata perintah berkurung itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau mengingatkan orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan supaya tidak menghampiri atau berada di kawasan diisytihar, di antara pukul 6 petang hingga 6 pagi.

Perintah ini dilanjutkan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas, yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

Kenyataan itu memberitahu, maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) (penculikan untuk tujuan tebusan) dan kumpulan Abu Sayaf masih cuba menceroboh ke kawasan itu untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan.

Idris berkata, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah, yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.

Katanya, ia juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Di samping itu, beliau juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu.

Related posts

Leave a Comment