Guang Eng desak sidang khas DUN

GEORGETOWN 5 Ogos – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mendesak sidang khas tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan bagi menentukan status kerusi disandang dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipecat daripada PKR.

ADUN Air Putih berkata, sidang itu perlu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Rabu lalu, yang memihak kepada kesahihan keperlembagaan undang-undang antilompat parti Pulau Pinang yang digubal pada 2012.

Menurutnya, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang dipinda pada 2012 memperuntukkan ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya meletakkan jawatan, dipecat atau berhenti menjadi ahli parti setelah dipilih sebagai calon parti politik.

“Dua bekas ADUN PKR iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) tersangkut dengan Seksyen 14A ini, selepas mereka tidak lagi menjadi ahli PKR berikutan dipecat kerana mengkhianati parti.

Seksyen 14A bagaimanapun tidak terpakai kepada dua ADUN Bersatu iaitu Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang), kerana mereka bertanding sebagai ahli Bersatu walaupun menggunakan logo PKR,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Panel tujuh hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan sebulat suara bahawa Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk keputusan itu, Guan Eng berkata, Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah dan harus dikuatkuasakan sehingga pindaan Perlembagaan Persekutuan yang melarang antilompat parti oleh Ahli Parlimen individu diwartakan.

Beliau berkata, Seksyen 14A dilindungi undang-undang susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dan harus diguna pakai ke atas dua bekas ADUN PKR berkenaan memandangkan pindaan baharu Perlembagaan Persekutuan masih belum diwartakan.

Related posts

Leave a Comment