Stok beras negara konsisten

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Stok penimbal beras negara direkodkan pada paras 221,313 tan metrik atau 88.5 peratus daripada jumlah sasaran iaitu 250,000 tan metrik menjelang 2022 yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Dr Ronald Kiandee, berkata kerajaan juga giat menggandakan stok penimbal beras secara berperingkat daripada 150,000 tan metrik kepada 290,000 tan metrik, menjelang 2023.

Katanya, ia bagi memastikan jaminan bekalan makanan negara, selain persediaan menghadapi sebarang situasi luar jangka.

Saiz stok penimbal beras ditentukan berdasarkan keupayaan negara mengurus, memulihara, menyelenggara dan mengekalkan stok penimbal beras pada kadar ditetapkan kerajaan.

Bagi menampung keperluan beras negara, MAFI sentiasa memastikan kedudukan stok barangan ini sentiasa melebihi paras purata keperluan iaitu 200,000 tan metrik sebulan.

“Kedudukan stok beras dalam negara di peringkat kilang, borong dan runcit sentiasa pada kadar konsisten setiap masa, iaitu purata 400,000 tan metrik hingga 500,000 tan metrik,” katanya.

Beliau menjawab soalan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) mengenai stok penimbal negara bagi beras pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ronald berkata, stok padi sedia diproses menjadi beras di kilang dengan purata 100,000 hingga 200,000 tan metrik setiap bulan dengan mengambil kira pengeluaran berterusan melalui kawasan jelapang dan luar jelapang negara.

Katanya, jadual penanaman di seluruh negara juga dirancang secara sistematik, iaitu melalui pusingan kitaran antara negeri bagi memastikan pengeluaran tempatan sentiasa berterusan.

“Kerajaan juga mengimport 80,000 tan metrik beras secara purata setiap bulan bagi menampung baki keperluan tidak dapat ditampung oleh pengeluaran tempatan.

“Data ini jelas membuktikan kedudukan bekalan beras negara kekal stabil sepanjang masa. Malah, bekalannya di seluruh negara juga stabil, ketika kerajaan berdepan pandemik Covid-19,” katanya.

Related posts

Leave a Comment