Speaker : 111 sokong 109 tolak

HANYA berbeza dua undi, usul kerajaan supaya Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 109 lagi tidak bersetuju. Seorang Ahli Parlimen tidak hadir.

Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Rashid Hasnon yang mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Usul itu dicadangkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Yang Dipertua dan disokong oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.

Dewan Rakyat panas dengan perbahasan dan pencelahan yang melibatkan anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, mantan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal.

Anwar memohon penjelasan daripada Perdana Menteri mengenai alasan kukuh mengapa Mohamad Ariff perlu mengosongkan jawatannya.

“Kalau ada seorang Speaker yang ada wibawa dan track record yang baik dan menyingkirkan beliau perlu ada alasan ….untuk tukar atas alasan ada calon baru, alasan itu tidak munasabah, sangat tidak munasabah.

“Saya nak tekankan kita boleh pertimbangkan jika PM beri alasan kukuh kenapa Speaker yang cemerlang mahu digugurkan,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Turut mencelah Gobind Singh Deo (PH-Puchong), Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) dan Mahfuz Omar (PH- Pokok Sena) 

Dr Mahathir ketika membahaskan usul itu berpendapat pemilihan Yang Dipertua mestilah seorang yang neutral dan tidak memihak kepada mana-mana pihak bagi memastikan sesuatu keputusan yang dibuat tidak mengikut telunjuk kerajaan.

“Adalah bukan tugas Speaker untuk ikut telunjuk dalam kerajaan… kenapa nak takut, kamu (kerajaan) ada lebihan bilangan dalam dewan ini,” katanya.

Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim pula menegaskan pencalonan Yang Dipertua baharu adalah mengikut peraturan dan tertib dengan mengemukakan notis 14 hari sebelum mesyuarat bermula.

Ketika menggulung, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan menjelaskan pertukaran jawatan-jawatan utama termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam negara lazim berlaku apabila kerajaan baharu mengambil alih tampuk pemerintahan. 

Menurutnya Perdana Menteri telah memberi notis untuk pencalonan nama baharu bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 29 Jun lalu dan perkara itu telah diterima dan dimasukkan sebagai satu usul yang perlu dibahaskan.

“Kita (kerajaan) juga setelah membuat penilaian dan berpendapat bahawa Speaker perlu ditukar dengan alasan (Mohamad Ariff) tidak boleh memenuhi hasrat dan aspirasi kerajaan sedia ada,” katanya.

Related posts

Leave a Comment