Malaysia, Turkiye luas skop MTFTA

PUTRAJAYA 4 Ogos – Malaysia dan Turkiye kini di peringkat akhir rundingan peluasan skop Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang telah dimeterai pada 1 Ogos 2015, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, MTFTA itu merangkumi bidang lain seperti pelaburan, perkhidmatan dan e-dagang bagi meningkatkan potensi pengembangan ekonomi kedua-dua negara

Kata, hasil perjanjian MTFTA, jumlah dagangan Malaysia-Turkiye meningkat sebanyak 74.2 peratus kepada RM16.97 bilion pada tahun lepas daripada RM9.74 bilion pada 2020.

Ismail Sabri dalam kenyataan di Facebooknya berkata, hubungan dua hala Malaysia-Turkiye juga telah terjalin sejak 1957 dan dipertingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

Beliau sebelum itu turut menerima kunjungan hormat Menteri Luar Turkiye Mevlut Cavusoglu pagi ini yang kini dalam lawatan rasmi ke negara ini.

Mengulas mengenai jaminan keselamatan makanan, Perdana Menteri berkata Malaysia-Turkiye juga bersetuju untuk bekerjasama secara aktif bagi membolehkan kedua-dua negara membangunkan pelbagai sumber dan rantaian bekalan makanan yang mampan demi manfaat bersama.

Selain itu, beliau berkata Malaysia turut menghargai pendirian tegas serta pendekatan telus Turkiye berhubung krisis Rusia-Ukraine bagi mencari titik penyelesaian pada kadar segera.

Related posts

Leave a Comment