KTMB tambah baik garis panduan sewa khas

KUALA LUMPUR 20 Mei – Selepas mendapat kecaman pelbagai pihak susulan pesta hiburan di dalam tren sewa khas, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tampil dengan kenyataan akan menambah baik dan mempertingkatkan garis panduan perkhidmatan tren sewaan khasnya (Charter Train).

Dalam kenyataannya, KTMB memaklumkan pihak penyewa berkenaan mematuhi syarat ditetapkan oleh pihaknya.

“KTMB menetapkan syarat-syarat seperti larangan merokok, alkohol, penggunaan dadah dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar undang-undang dan ia dipersetujui dan dipatuhi oleh pelanggan kami,” kata kenyataan itu seperti dilaporkan Bernama.

Ini susulan kontroversi penganjuran pesta hiburan sempena ulang tahun ‘Pinkish Festival’ di tren sewa khas yang membuat perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah, Khamis lalu.

‘Peranan KTMB adalah sebagai penyedia perkhidmatan di mana kami menyediakan keseluruhan tren dan koc-koc mengikut permintaan pelanggan dan aktiviti yang direncana ditentukan sendiri oleh pihak pelanggan mengikut garis panduan dan terma-terma yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu..

Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan penumpang mengadakan parti di dalam gerabak KTMB di media sosial dengan lokasinya dipercayai di Kuala Lumpur.

Susulan itu Ketua Penerangan UMNO Kedah,  Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, KTM sebagai peneraju perkhidmatan kereta api negara sepatutnya meletakkan syarat-syarat yang ketat demi tidak mencemarkan imej dan nama KTM sendiri.

“Sangat mengecewakan ialah apabila nama sahaja Kereta Api Tanah Melayu, tapi membenarkan parti liar yang penuh dengan arak dan perkara perkara yang tidak senonoh. Apakah mesej yang KTM cuba sampaikan kepada rakyat? Bahawa kami sudah tidak Melayu?

“Itu belum lagi kecoh apabila dikatakan surau juga antara lokasi parti tersebut. Ini sudah melampau! Tempat yang sepatutnya suci dan bersih dibenarkan untuk pengunaan kasut, parti games dan arak,” dakwanya yang menuntut penjelasan KTMB.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari pula menegaskan, pesta tersebut bertentangan dengan budaya ketimuran dan mencemarkan nama KTMB yang merupakan satu aset negara bersejarah.

“Walau apa jua alasan digunakan bagi menjustifikasikan program ini, seperti contohnya bagi tujuan penjanaan kewangan, ia tetap tidak boleh diterima dan dilihat bertentangan dengan falsafah Malaysia Madani dibawakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan.

“KTMB merupakan salah satu daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berada bawah Kementerian Kewangan. Kami mencadangkan agar siasatan dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan akan punca bagaimana program sebegini boleh diluluskan.

“(Ini kerana) melihatkan ketidakwajaran aktiviti maksiat sebegini dinormalisasikan menggunakan syarikat berkaitan kerajaan yang mempunyai simbolik begitu penting bagi imej dan maruah negara. Pas menggesa agar aktiviti yang melampaui batas dan mencemarkan imej KTMB ini tidak wajar diteruskan,” ujarnya.

KTMB memperkenalkan perkhidmatan Charter Train sejak September 2021 kepada syarikat atau individu yang berminat untuk membuat sewaan tren khas.

Perkhidmatan ini mendapat sambutan menggalakkan dan pernah disewa khas oleh pihak-pihak kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dari dalam dan luar negara serta persatuan-persatuan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment