Gerakan Melayu lawan Melayu

KHAMIS lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti politik Melayu di negara ini tidak boleh mencipta kemenangan tanpa sokongan bukan Melayu, sekali gus menyukarkan usaha menjayakan agenda Melayu.

Genap seminggu beliau menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu itu, hari ini Dr. Mahathir tampil mengumumkan satu gagasan baharu berteraskan agenda Melayu dan Islam.

Gagasan itu yang dinamakan Gerakan Tanah Air adalah bagi menyatupadukan semula kaum Melayu untuk “selamatkan negara kita, bangsa kita, agama kita,” dengan matlamat utama melawan UMNO, parti yang didakwanya sudah rosak.

“Kita ada menjemput orang Melayu sahaja bukan sebab perkauman tapi usaha kita tertumpu mahu lawan parti Melayu yang dah menyeleweng iaitu UMNO.

“Kalau kita bukan parti Melayu maka orang Melayu tidak akan sokong. Harapnya dapat sokongan daripada rakyat. Bukan sebagai ahli parti tapi lebih kepada mereka yang curiga kepada masa depan negara kita,” katanya di Putrajaya hari ini.

Secara asasnya gerakan ini dianggotai parti politik Pejuang yang dipengerusikan Dr Mahathir, Putra diterajui Dr Ibrahim Ali, Berjasa pimpinan Zamani Ibrahim dan Iman (Parti Perikatan India Muslim Nasional) yang ketuai Mohammed Mosin Abdul Razak.

Bagaimanapun gerakan ini juga membuka penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta individu atau profesional Melayu.

Justeru ketika pilihan raya umum (PRU) semakin hampir, mampukah gerakan ini mendapat perhatian Melayu atau menjuarai orang Melayu yang kini sudah nyata terbelah kepada beberapa bahagian akibat kemunculan pelbagai parti politik?

Mampukah tanpa bukan Melayu seperti kata Dr. Mahathir, gerakan ini yang hanya diwakili parti-parti Melayu yang baharu setahun jagung atau hidup segan mati tak mahu mewakili orang Melayu?

Jika untuk melawan UMNO, banyak yang bersedia bersama gerakan ini, bukan setakat parti yang dipimpin orang Melayu tetapi juga bukan Melayu. Realitinya gerakan ini tidak bersendirian untuk mencapai matlamat mereka melawan UMNO.

Kita ada parti pimpinan Melayu dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR dan Amanah serta Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas dan Bersatu. Semua ini ditambah dengan Muda dan Warisan bersedia melawan UMNO.

Sebut saja di sebelah sana – selain Pejuang ada PKR, Amanah, Bersatu, Pas, Muda, Warisan, serta disokong parti pimpinan bukan Melayu Islam, DAP dan Gerakan (ada lagi tak parti dipimpin bukan Melayu) yang bersedia bersama gerakan ini.

Malangnya apabila tiba PRU mampukah parti-parti Melayu ini membahagikan kerusi sesama mereka bagi memastikan UMNO tumbang? Lihat sahaja bagaimana pilihan raya umum di Negeri Johor dan Melaka.

Maka akhirnya ke mana hala tuju perjuangan gerakan ini jika tidak ada yang mahu mengalah dalam pembahagian kerusi, tidak mampu bertindak adil sebaliknya bersikap satu untuk kau, dua untuk aku. Akhirnya siapa yang melopong?

Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Menang sorak kampung tergadai.

Orang Melayu terutama dalam kalangan pemimpinnya sedar dan insaf bahawa orang Melayu sudah memiliki banyak parti politik. Parti yang dipimpin Melayu ini menerajui kebanyakan gagasan atau gabungan parti yang mewakili pelbagai kaum.

Bagaimanapun Melayu ini tidak berusaha mencari jalan keluar untuk menyatukan Melayu sebaliknya saling menuding jari, membuka pekung di dada dan aib sendiri, londeh melondeh sehingga kelihatan ditelanjang depan khalayak.

Mereka gagal membentuk muafakat sesama mereka, masing-masing tunjuk lagak dan akhirnya lebih cenderung menubuhkan parti politik.

Contohnya, jika UMNO dilihat sudah rosak, Melayu gagal membaikinya. Mungkin juga ada yang bimbang terjadi seperti tikus membaiki labu. Kebanyakan lebih suka ambil jalan mudah – membakar kelambu bukannya membunuh nyamuk.

Begitulah politik Melayu yang sukar bersama di meja rundingan untuk mencari muafakat tetapi sering saja memainkan sentimen untuk memperjuangkan nasib Melayu walhal selama ini Melayulah yang memimpin.

Kita tunggu sejauh mana gerakan baharu antiUMNO ini mampu menyatukan Melayu, agar Melayu tidak terus tersungkur di bumi sendiri.

Related posts

Leave a Comment