“22 bulan patut tolong Melayu”

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Gerakan Tanah Air yang diumumkan Dr Mahathir Mohamad hari ini tidak menggambarkan sentimen sebenar untuk orang Melayu, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pembentukan gagasan itu juga tidak akan melemahkan kedudukan Melayu, yang juga majoriti kaum di Malaysia ketika ini.

“Saya tidak mendokong inisiatif seperti itu kerana kalau betul mahu bela Melayu, Islam, ada 22 bulan (ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri), dia patut sudah tolong.

“Melayu yang dipilih itu tidak mewakili sentimen Melayu. Jadi, saya fikir orang Melayu patut sedar masalah dalam negara ini adalah kepemimpinan, baik Melayu atau bukan Melayu, yang rasuah, yang mengkayakan anak-anak dan keluarga mereka.

Kemudian bila terdesak akan merayu untuk dapat dokongan Melayu. Ini juga termasuk sesetengah parti Cina dan India, sama saja,” katanya menjawab pertanyaan mengenai penubuhan gagasan itu.

Beliau berkata, orang Melayu yang sedar mengenai masalah sebenar dihadapi mereka tidak akan menyokong gagasan ini.

“Kalau ada elemen yang sedar dalam kalangan Melayu, Melayu yang terhimpit, miskin dia tidak lagi boleh berharap kepada orang yang sama untuk minta pembelaan sewajarnya. Patut beri ruang kepada satu pendekatan rakyat Malaysia,” katanya.

Gerakan Tanah Air yang diumumkan Dr Mahathir hari ini bertujuan menjaga negara supaya aman dan stabil dengan mengurangkan jurang antara kaum ketika ini.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, gagasan berkenaan akan hanya disertai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik dan profesional Melayu.

Dr Mahathir berkata, ia bukan bermakna gerakan itu bersifat perkauman sebaliknya ia untuk memberi tumpuan melawan sebuah parti Melayu yang sudah menyeleweng ketika ini.

Related posts

Leave a Comment