Vaksin Spikevax bagi usia 12 ke atas

PUTRAJAYA 4 Ogos – Kerajaan bersetuju membenarkan vaksin Covid-19 Spikevax, keluaran Rovi Pharma Industrial Services, Sepanyol diberikan kepada individu berusia 12 tahun ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata persetujuan itu dibuat dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-375 yang bersidang hari ini.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, Spikevax sebelum ini sudah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berusia 18 tahun dan ke atas.

Kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin itu untuk terus dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data terkini dari semasa ke semasa.

Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi produk itu kekal positif. Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa komited untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada ubat-ubatan bagi tujuan rawatan atau pencegahan penularan Covid-19 di negara ini dengan memastikan ia dinilai sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini PBKD sudah meluluskan vaksin jenis Comirnaty (keluaran Pfizer-BioNTech) dan CoronoVac (keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd, China serta Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd, Malaysia) untuk digunakan dalam kalangan individu berusia 12 tahun ke atas.

Kerajaan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun bermula 15 September lalu.

Sehingga petang semalam, sebanyak 2,881,619 individu lingkungan usia itu sudah menerima dua dos vaksin dan daripada jumlah itu, sejumlah 45,934 individu sudah mendapatkan dos penggalak.

Related posts

Leave a Comment