Kes harian lepasi 4,000

PUTRAJAYA 3 Ogos – Jumlah kes jangkitan Covid-19 kembali melepasi 4,000 kes apabila merekodkan 4,204 jangkitan baharu semalam berbanding 3,213 sebelumnya menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,687,470.

Pertambahan kes berkenaan membabitkan 4,201 kes penularan tempatan dan tiga kes import, yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dalam tempoh yang sama, lapan kematian akibat Covid-19, dilaporkan termasuk dua kematian berlaku di luar fasiliti kesihatan (BID), yang membawa kepada jumlah kumulatif 35,985.

Menurut laman web COVIDNOW, daripada jumlah keseluruhan kematian, sebanyak 7,646 kes meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Setakat semalam, sebanyak 44,278 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dilaporkan dan daripada jumlah itu, 96.3 peratus sedang menjalani kuarantin wajib di rumah manakala 1,537 kes dirawat di hospital.

Seramai 56 individu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 36 memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala 24 pesakit pula berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Sebanyak 4,582 kes sembuh dilaporkan setakat semalam, menjadikan jumlah individu pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan adalah 4,607,207 kes.

Sementara itu, Selangor merekodkan kes harian tertinggi dengan 1,526 diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1,080, Sabah 272, Perak 237, Pulau Pinang 172, Kedah 168, Negeri Sembilan 167, Sarawak 112 dan Wilayah Persekutuan Putrajaya 106.

Di bawah 100 kes adalah Kelantan 90, Johor 82, Melaka 80, Pahang 53, Terengganu 37, Perlis 12, dan Wilayah Persekutuan Labuan 10.

Related posts

Leave a Comment