UPKO tinggalkan Pakatan Harapan

PENAMPANG 10 Nov. – Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini memutuskan untuk meninggalkan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang disertainya selama empat tahun berkuatkuasa serta-merta.

Berikutan  itu, UPKO bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang mahu memperjuangkan agenda Sabah First bersama-sama supaya pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963 dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan.

Dalam satu kenyataan, mesyuarat membincangkan agenda Sabah First yang menjadi asas perjuangan dan hala tuju kepemimpinan UPKO dan keputusan meninggalkan PH juga bagi menyahut seruan rakyat Sabah agar penyatuan parti-parti tempatan Sabah dimulakan melalui pilihan raya ini.

“Keputusan ini akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponen PH,” kata Setiausaha Agung UPKO, Nelson W Angang dalam satu kenyataan selepas mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UPKO Ewon Benedick.

Bagaimanapun, dua Ahli Parlimen UPKO iaitu Ewon Benedick (Penampang) dan Wilfred Madius Tangau (Tuaran) akan terus bersama menyokong Kerajaan Persekutuan sehingga penggal ini berakhir.

“UPKO juga berpendirian bahawa hubungan baik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah harus dijayakan tetapi mesti berasaskan kepada semangat, tujuan, intipati dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963,” kata kenyataan itu.

Mesyuarat juga menyokong sepenuhnya keputusan Ewon meletak jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana tidak bersetuju dengan pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding Semakan Kehakiman terkait hak 40 peratus Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society.

“UPKO juga kekal dengan pendirian bahawa hak 40 peratus Sabah tersebut adalah berasingan daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan (Federal List),” kata Nelson.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan itu juga terdapat rasa tidak puas hati terhadap kepemimpinan PH di Sabah.

“Sepanjang empat tahun dalam Pakatan Harapan (PH), UPKO telah menjadikan agenda Sabah First dalam perundingan berkaitan manifesto pilihan raya PH dan perbincangan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diketuai Pengerusi PH.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh ini, berlaku jurang intepretasi, pandangan dan pendirian di antara UPKO dan parti-parti komponen PH di peringkat nasional mengenai tuntutan pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta kegagalan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah,” kata kenyataan itu.

Menurut UPKO lagi kepengerusian PH Sabah oleh UPKO melalui Mesyuarat Agung PH Sabah tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah.

Malah UPKO mendakwa turut menerima kecaman terbuka walaupun keputusan dibuat melalui pemilihan yang dikendalikan oleh pentadbir dari Ibu Pejabat PH.

“Presiden UPKO kemudiannya hanya dilantik sebagai ‘coordinator’, tetapi keputusan-keputusan berkaitan persiapan pilihan raya oleh PH diputuskan oleh PKR tanpa autonomi sebenar oleh PH Sabah, bercanggah dengan apa yang telah diumumkan.

UPKO menilai semula hala tuju perjuangan dan kami menyimpulkan “hanya parti-parti tempatan Sabah yang betul-betul memahami denyutan nadi, jiwa, wawasan, impian masa depan Sabah” berdasarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya hak 40 peratus,” kata kenyataan itu,

Nnnn

Related posts

Leave a Comment