Kembali ke asal…

MAKKAH: Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, mengeluarkan arahan diraja supaya pengadang perlindungan yang ditempatkan sekeliling Kaabah  sejak 2020, dialihkan sejajar dengan bermulanya musim baharu ibadah umrah.

Presiden Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais, ketika mengumumkan perkara itu, semalam, berkata keputusan berkenaan turut menekankan kesungguhan kepemimpinan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah serta pelawat Masjidilharam menunaikan ibadah dalam suasana tenang dan selamat, terutama dengan peningkatan kehadiran mereka sempena musim baharu umrah.

Beliau sebagai berkata, usaha sedang dijalankan dengan kerjasama semua sektor terbabit bagi menerima kedatangan jemaah di Masjidil Haram, sekali gus menyediakan segala perkhidmatan dan kemudahan diperlukan, seiring aspirasi pemurah kepemimpinan negara ini.

Sebelum ini, pengadang terbabit ditempatkan di sekeliling Kaabah bermula 1 Julai 2020 selaras arahan Pusat Kebangsaan Untuk Pencegahan Coronavirus, sebagai langkah mengekang penularan pandemik Covid-19.

Berikutan itu mulai malam tadi, jemaah  berpeluang mengucup Hajarul Aswad dan solat di Hijir Ismail.

Related posts

Leave a Comment