Duta lantikan politik bukan asing

KUALA LUMPUR 3 Ogos –  Pelantikan ketua perwakilan atau duta secara lantikan politik adalah langkah yang boleh dipertimbangkan dan bukan perkara asing, memandangkan ia pernah dilakukan sebelum ini.

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah, berkata antara faktor yang diambil kira ialah kebolehan calon itu menjalinkan hubungan rapat dengan ahli badan legislatif serta memahami sistem politik di negara penerima.

“Pelantikan ketua perwakilan secara lantikan politik bukanlah suatu perkara asing yang mana ia sudah dilaksanakan sejak beberapa tahun dahulu membabitkan beberapa Ahli Parlimen, bekas menteri dan bekas pegawai kanan kerajaan.

Pelantikan itu adalah satu langkah strategik bagi mengetengahkan agenda dan kepentingan negara dalam keadaan tertentu,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) di Dewan Rakyat.

Beliau menjelaskan, pencalonan secara lantikan politik perlu mendapatkan persetujuan kolektif daripada ahli Jemaah Menteri sebagai kriteria utama, sebelum proses pencalonan dilaksanakan.

Sebelum ini, cadangan pelantikan beberapa Ahli Parlimen ke jawatan itu termasuk di negara jiran Indonesia mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk pemimpin politik pembangkang.

Saifuddin berkata, proses pelantikan Ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara itu dilaksanakan berdasarkan kepada Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, mengikut amalan semasa, prosedur pelantikan terbabit perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Untuk proses di peringkat awal, pencalonan itu perlu dimajukan ke agensi pusat yang menguruskan proses pelantikan ke perkhidmatan awam seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

“Urusan yang disebutkan adalah antara prasyarat sebelum mana-mana pencalonan dihantar bagi mendapatkan persetujuan negara tuan rumah (agrément),” katanya.

Related posts

Leave a Comment