Konsisten dengan amalan kesihatan

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pandemik Covid-19 masih jauh untuk tamat sekiranya penduduk tidak konsisten mengamalkan langkah-langkah pencegahan Covid-19.

Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata,peningkatan kes Covid-19 adalah disebabkan kekeliruan, rasa puas hati dan tidak konsisten dalam mengamalkan langkah-langkah kesihatan.

Menurutnya, walaupun 780 juta vaksin telah diberikan secara global namun langkah kesihatan termasuk memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal masih harus menjadi amalan.

Bercakap pada taklimat media di Geneva semalam, beliau berkata, WHO juga ingin melihat masyarakat dan ekonomi kembali dibuka dengan perjalanan dan perdagangan kembali seperti biasa.

Bagaimanapun, jelasnya unit rawatan rapi (ICU) di kebanyakan negara semakin tertekan berikutan peningkatan kes.

Tambah Dr. Tedros, dunia perlu tetap optimis apabila mencatatkan penurunan kes dan kematian selama dua bulan pertama tahun ini dan ia menunjukkan virus berkenaan boleh dihentikan.

Beliau berkata, dunia berada di titik krisis ketika ini dengan trajektori pandemik itu meningkat untuk minggu ketujuh berturut-turut.

Dr Tedros menyatakan bahawa di beberapa negara, walaupun penularan berterusan, restoran dan kelab malam penuh, pasar terbuka sesak dengan hanya beberapa orang yang mengambil langkah berjaga-jaga.

Katanya dengan usaha bersama untuk menerapkan langkah-langkah kesihatan masyarakat di samping vaksinasi yang adil, kita dapat mengendalikan pandemik ini dalam beberapa bulan.

Related posts

Leave a Comment