Gelombang haba dijangka lebih tinggi

PARIS: Satu kajian menunjukkan gelombang haba yang berpunca daripada perubahan iklim di Britain mungkin akan meningkat sekurang-kurangnya 10 kali lebih tinggi.

Di kawasan timur England merekodkan suhu tinggi sepanjang masa 40.3 darjah Celsius yang mencetuskan kebakaran dan memusnahkan puluhan rumah di London.

Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 34 lokasi di Britain mencatat rekod tertinggi pada 20 Julai, ketika gelombang panas memuncak di kawasan barat Eropah.

Pasukan penyelidik antarabangsa cuba menggambarkan cuaca panas melampau seperti itu berlaku sebelum era perindustrian bermula pada pertengahan abad ke-19.

Mereka kemudiannya membandingkan kemungkinan itu dengan gelombang haba yang berlaku dalam iklim semasa – iaitu bumi hampir 1.2 darjah Celsius lebih panas secara purata berbanding pada zaman praindustri.

Mereka memfokuskan suhu maksimum di wilayah Britain yang paling terjejas iaitu di England tengah dan Wales timur, dan mendapati haba yang memecahkan rekod itu sekurang-kurangnya 10 kali lebih tinggi, berkemungkinan berpunca oleh gas rumah hijau yang dihasilkan oleh manusia yang mengakibatkan pemanasan global.

Kajian itu mendapati kejadian haba melampau di seluruh Eropah meningkat lebih daripada yang dianggarkan oleh model iklim.

Model janaan komputer itu turut menganggarkan bahawa pelepasan gas rumah hijau meningkatkan suhu dalam gelombang haba pada Julai sebanyak dua darjah Celsius tetapi sebenarnya, gelombang haba adalah empat darjah Celsius lebih panas berbanding tanpa pemanasan buatan manusia.

Pada 2020 saintis di Pejabat MET Britain menganggarkan suhu melebihi 40 darjah Celsius berlaku dalam iklim semula jadi – yang tiada pemanasan akibat manusia – menjadi kira-kira satu dalam 1,000 tahun.

Hari ini anggaran itu berada pada satu dalam 100 tahun tetapi saintis yang terbabit dalam kajian itu berkata, cuaca ekstrem yang diperhatikan berlaku lebih cepat daripada yang diramalkan.

Related posts

Leave a Comment