Amalkan konsep Tasamuh

PUTRAJAYA 29 Julai – Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengajak rakyat mengamalkan konsep ‘Tasamuh’ atau toleransi dalam menjaga keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, sikap yang dituntut dalam Islam itu bukan hanya membolehkan rakyat terus membangun sehingga dihormati, tetapi juga dapat mengelak daripada perbalahan yang sia-sia dan merugikan.

Katanya, semangat Tasamuh ini dianjurkan Rasulullah SAW, ketika membangunkan kota suci Madinah yang mana golongan Ansar dan Muhajirin menzahirkan sifat toleransi yang melahirkan masyarakat berkasih sayang, merentasi kaum dan warna kulit.

Perdana Menteri turut menarik perhatian semangat Tasamuh yang diterjemahkan Ahli Dewan Rakyat ketika sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan berkenaan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti semalam.

Katanya ahli Dewan Rakyat sanggup mengetepikan perbezaan fahaman politik demi Keluarga Malaysia.

Dalam perutusan khas sempena Sambutan Maal Hijrah 1444, malam ini

Ismail Sabri berkata, Maal Hijrah bukan sekadar menghayati penghijrahan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dari kota suci Makkah ke kota Madinah bagi menyebarkan syiar Islam, tetapi mempunyai pengertian lebih besar.

Beliau berkata, cabaran dihadapi kini menuntut kecekalan dan ketahanan jiwa setiap rakyat, seperti semangat pengorbanan kaum Muhajirin, yang sanggup meninggalkan harta dan kediamannya.

“Hijrah dalam konteks hari ini ialah berusaha mengubah diri menjadi individu lebih baik dan bermanfaat kepada orang lain.

“Dalam ruang lingkup tugas tersendiri, kita bertanggungjawab memastikan hubungan sesama anggota masyarakat berjalan atas prinsip keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran seperti ditekankan dalam konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, nilai ini penting untuk rakyat berdepan cabaran tidak pernah berlaku dalam sejarah, sehingga menyebabkan negara terpaksa bergelut untuk menanganinya.

“Peristiwa Hijrah juga mengajar kita bersedia berdepan sebarang cabaran atau kemungkinan. Dengan keadaan itu, kita dapat bersiap siaga sekiranya sebarang peristiwa buruk berlaku,” katanya.

Related posts

Leave a Comment