Bekas KP Jakim Tokoh Maal Hijrah

KUALA LUMPUR 29 Julai  – Mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2022M dan Bacaan Yasin Hari Pahlawan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Selain itu, Menteri Kanan Menjaga Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja, Okhna Datuk Dr Othsman Hassan diumumkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Kedua-dua tokoh masing-masing menerima pingat serta sijil penghargaan Kerajaan Malaysia.

Hadiah kepada tokoh terbabit disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat pada majlis berkenaan adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Idris Ahmad.

Pemilihan kedua-dua tokoh dibuat atas sumbangan besar mereka dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima masyarakat.

Terdahulu, Idris berkata, tema sambutan kali ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’ bertepatan semangat hijrah Rasulullah SAW dalam melahirkan ummah menjiwai nilai insaniah, berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan meraikan realiti kemajmukan.

Kata beliau, semangat hijrah itu diterjemahkan dalam Aspirasi Keluarga Malaysia yang menyatupadukan rakyat ke arah kesejahteraan ekonomi, kestabilan politik seterusnya memulih dan membangunkan negara dalam situasi mencabar.

“Antara falsafah penting peristiwa hijrah ialah penyatuan ummah, kesatuan Muhajirin mendokong perjuangan Islam dan semangat perpaduan Ansar menerima saudara Muhajirin yang tidak mereka kenali sebelum ini.

“Hubungan atas dasar iman dan akidah Islamiyyah ini mengatasi segala-galanya,” katanya.

“Faktor itu membawa kepada terbina Negara Madinah yang menjadi model kerajaan Islam terbaik yang berkebajikan, adil dan menyatukan semua rakyat tanpa mengira agama di bawah payung Perlembagaan Madinah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment