Tiga negeri PH sedia pinda perlembagaan

KUALA LUMPUR 28 Julai – Tiga negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) akan meminda perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri masing-masing secepat mungkin, sebaik saja Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 diluluskan.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata, langkah itu bagi membolehkan RUU berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti itu dikuatkuasakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua negeri lain di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pas untuk turut mengikut jejak langkah itu sekali gus memastikan tiada lagi krisis politik akibat lompat parti berlaku di mana-mana DUN.

“PH memberi jaminan kita akan meminta semua kerajaan negeri PH untuk meminda perlembagaan negeri masing-masing untuk diseragamkan dengan Perlembagaan Persekutuan, supaya tindakan lompat parti diharamkan dalam negeri berkenaan.

Saya harap ini boleh diamalkan oleh negeri-negeri di bawah BN dan PN, termasuk di Sarawak,” katanya ketika membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Guan Eng yang juga Pengerusi DAP menggesa setiap negeri menggunakan undang-undang antilompat parti yang sama dengan yang digubal dalam RUU itu bagi mengelak kekeliruan.

“Kita tak mahu lihat ada perbezaan, pertindihan dan percanggahan dalam pelaksanaan RUU ini di peringkat negeri kerana ini akan menimbulkan kekeliruan.

“Saya harap ini dapat dipertimbangkan dan kerajaan dapat arah semua Ketua Menteri dan Menteri Besar pinda perlembagaan negeri dalam masa terdekat supaya undang-undang ini dapat dilulus dan dikuatkuasakan di semua negeri sebelum PRU-15,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta jaminan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai permulaan kuat kuasa RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022, yang dianggarkan seawal September depan.

Related posts

Leave a Comment