Perlu ada ruang wakil rakyat tukar parti

KUALA LUMPUR 27 Julai – Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyokong Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berhubung aktiviti lompat parti tetapi perlu ada ruang untuk wakil rakyat bertukar parti.

Katanya, dalam situasi tertentu, ruang itu perlu bagi menghadapi kemungkinan tidak ada satu pun parti yang mampu memperoleh sekurang-kurangnya 50 peratus kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

“Yang ada ialah parti yang kurang daripada 50 peratus. Dan dalam keadaan itu kalau ditubuh juga satu kerajaan minoriti, apabila datang ke Dewan Rakyat, maka Dewan Rakyat boleh menjatuhkan  kerajaan minoriti itu, dengan hanya mengundi tidak percaya kepada parti yang dijadikan kerajaan.

Dalam keadaan itu kita boleh adakan pilihan  raya  sekali lagi, tapi itu juga tidak akan menentukan. Sebab itu ada perlunya lompatan dibenar, supaya jumlah ahli cukup untuk menjadi kerajaan dengan majoriti.

“Tetapi kalau kita tegah kesemua lompatan, maka tak dapat kita ada satu kerajaan yang berwibawa. Sebaliknya PRU perlu diadakan,” tegas Ahli Parlimen Langkawi itu semasa membahas RUU tersebut.

Katanya, mungkin seluruh parti boleh menyertai parti lain yang tidak cukup bilangan kerusi tetapi perlu mengikut persetujuan kuasa tertinggi parti yang memutuskan bekerjasama  dengan parti gabungan bagi mewujudkan majoriti.

Apa yang ditegah sehingga hilang kerusi adalah apabila  seseorang yang lompat masuk parti lain tanpa  kelulusan parti dan tidak disokong parti.

Dr. Mahathir berharap Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berhubung aktiviti lompat parti, akan mendapat sokongan dua pertiga Dewan Rakyat.

Katanya, negara sebelum ini menyaksikan bagaimana sebuah gabungan parti yang mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya umum, terpaksa melepaskan pemerintahan kerana episod lompat parti.

Related posts

Leave a Comment