Ahli Parlimen dipecat juga hilang kerusi?

KUALA LUMPUR 27 Julai – DAP sedia meminda perlembagaannya jika mana-mana Ahli Parlimen yang dipecat daripada parti dianggap sebagai lompat parti dan digugurkan daripada kerusinya.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke (PH-Seremban) memberi jaminan itu  jika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memberi jaminan boleh melaksanakannya.

Katanya, ketika ini, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 itu masih ada kelemahan walaupun DAP secara umum menyokong pelaksanaannya.

Beliau menarik perhatian dalam perkara ‘Ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli dewan itu akibat pemecatan oleh parti politiknya’.

“Dalam konteks tertentu, pemecatan itu boleh dianggap sebagai lompat parti. Maksudnya, jika seorang Ahli Dewan Rakyat mengambil keputusan melanggar keputusan partinya, dia boleh dipecat dan dia perlu mengosongkan kerusinya.

“Malangnya, perkara ini tidak mendapat konsensus dan tidak dimasukkan dalam pindaan Perlembagaan ini. Jika menteri (Wan Junaidi) kata perkara ini boleh dilaksanakan, saya berjanji DAP akan menjadi parti politik pertama yang akan meminda perlembagaan parti untuk memasukkan seksyen ini,” katanya ketika membahaskan RUU terbabit di Dewan Rakyat, hari ini.

Anthony, berkata, keadaan itu amat berbahaya kepada mana-mana parti politik.

“Sebagai contoh, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti, ada seorang Ahli Parlimen DAP tidak menyokong keputusan DAP sokong Ahli Parlimen Port Dickson (Anwar Ibrahim) jadi Perdana Menteri. Dia tidak ikut keputusan parti sebaliknya sokong Ahli Parlimen Bera (Ismail Sabri Yaakob) sebagai Perdana Menteri.

“Kalau kita pecat dia, dia masih kekal sebagai Ahli Parlimen, dia tidak akan mendapat apa-apa kesan akibat melanggar keputusan parti. Perkara ini juga boleh terjadi di sebelah sana (kerajaan). Kita berharap YB Wan Junaidi dapat memberi penjelasan berhubung perkara ini,” katanya.

Beliau juga berharap proses pindaan perlembagaan menerusi RUU itu dapat dijadikan rujukan bagi penggubalan undang-undang pada masa depan.

Related posts

Leave a Comment