Kek, kuih ditarik balik di pasaran

SINGAPURA 27 Julai  – Kek Aneka Best One (rasa pisang) keluaran Malaysia serta kuih terpilih daripada sembilan pengeluar tempatan, dan pek campuran buah-buahan Bake King, ditarik balik dari pasaran mulai semalam.

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), langkah itu diambil berikutan produk berkenaan menggunakan bahan diragui serta bahan tambahan tidak diisytiharkan.

Produk kuih adalah kuih lapis, kuih ubi kayu dan ondeh-ondeh daripada Toh Chuan Kee Foodstuff, Tongli Food Manufacturing, AMK Nonya Kueh, Chit Guan Foodstuff, Delight Baker, Thomson Foodstuff Manufacturing, Sin Hwa Coconuts Industrial, Tiong Bahru Tian Bo Shui Kueh dan Lim Food Industries.

Produk kuih itu dikesan mengandungi asid benzoik dan asid sorbik yang tinggi, melebihi had dibenarkan dalam pengisian produk kuih.

SFA juga menemui asid sorbik dalam Kek Aneka ‘Best One’ (rasa pisang) yang melebihi had maksimum seperti yang dinyatakan dalam Peraturan Makanan Singapura, dan sulfur dioksida, alergen yang tidak diisytiharkan, dalam buah-buahan campuran Bake King.

Asid benzoik dan asid sorbik adalah bahan tambahan biasa yang selamat apabila digunakan dalam kuantiti yang kecil, namun SFA berkata kajian terhadap haiwan yang diberi makan asid benzoik dalam dos tinggi mengalami kerosakan pada sistem saraf serta perubahan dalam otak.

Haiwan yang diberi makan dengan dos asid sorbik yang tinggi menunjukkan kesan seperti pertumbuhan yang terencat.

Pada masa sama, tahap sulfur dioksida yang berlebihan dalam makanan boleh mengakibatkan tindak balas alahan pada orang yang hipersensitif kepada sulfat.

Gejala yang dikesan termasuklah ruam kulit, kegatalan, sakit perut, cirit-birit, dan muntah.

Pengguna yang sudah memakan produk yang terbabit dan bimbang mengenai kesihatan mereka boleh mendapatkan nasihat perubatan.

Related posts

Leave a Comment