Itali cecah 40 darjah Celcius

ROM: Itali berdepan cuaca panas dengan amaran gelombang haba dikeluarkan di 16 bandar di seluruh negara, terburuk mencecah 40 darjah Celsius di utara Milan, manakala Bologna dan Rom dijangka mencapai 39 darjah Celsius.

Kementerian Kesihatan Itali juga mengeluarkan amaran merah gelombang haba semalam dan hari ini termasuk di Florence, Genoa, Turin dan Verona.

Khamis lalu, bandar Pavia yang terletak di selatan Milan, memecah rekod apabila suhu mencecah 39.6 darjah Celsius

Buat tiga bulan berturut-turut sejak Mei lalu, suhu negara direkodkan antara dua hingga tiga darjah melebihi musim purata dan ia dijangka berterusan sehingga awal Ogos ini.

Gelombang haba yang dialami turut mengakibatkan kebakaran di kebanyakan tempat di Itali sejak beberapa minggu lalu dan yang terbesar berlaku di Tuscany di mana 860 hektar kawasan di barat Lucca terbakar sejak Isnin lalu.

Lebih memburukkan keadaan apabila kebakaran hutan berlaku berhampiran Trieste di wilayah Friuli Venezia Giulia, mengakibatkan asap tebal sehingga ke sempadan Slovenia, selain menyebabkan kira-kira 300 orang hilang tempat tinggal.

Timbalan Gabenor, Riccardo Riccardi, berkata kebakaran itu turut menyebabkan bekalan elektrik terputus selama 15 minit Selasa lalu dan seorang anggota bomba wanita turut terbunuh dalam kejadian terbabit selepas dihempap pokok.

Pasukan bomba Itali memaklumkan sebanyak 32,921 kebakaran berlaku sejak 15 Jun hingga 21 Julai lalu, iaitu 4,040 lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lalu.

Related posts

Leave a Comment