Syor campuran vaksin

AGENSI Kesihatan Kesatuan Eropah (EU) mengesyorkan agar vaksin Covid-19 bagi dos awal dan penggalak menggunakan campuran vaksin berbeza selepas dapatan kajian menunjukkan gabungan vaksin vektor virus dan vaksin MRNA menghasilkan tahap antibodi yang baik terhadap koronavirus.

Saranan ini dikemukakan oleh Agensi Perubatan Eropah (EMA) serta Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) dalam satu kenyataan bersama.

Menurut EMA dan ECDC, pendekatan itu menawarkan pilihan vaksin lebih baik terutamanya untuk mengurangkan impak kekurangan vaksin sekiranya vaksin tidak tersedia atas sebarang sebab.

Saranan ini juga dibuat selepas kajian utama mendapati dos pertama suntikan AstraZeneca atau Pfizer-BioNTech diikuti dengan vaksin Moderna sembilan minggu kemudian mendorong tindak balas imun yang lebih baik.

Walau bagaimanapun, EMA dan ECDC berpendapat lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menyokong penggunaan campuran dan pemadanan pada individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Ketika ini beberapa negara Eropah mengumumkan mempercepat program vaksinasi untuk kanak-kanak, susulan penularan varian Omicron.

Sebelum ini Amerika Syarikat sudah melaksanakan kaedah campur dan memadankan vaksin, sementara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang menilai pendekatan itu.

Related posts

Leave a Comment