“Santuni ayah jika masih ada”

KUALA LUMPUR 21 Julai – Seorang lelaki yang sudah dimanah usia sanggup bergegas di bawah terik matahari semata-mata untuk membantu anak saudaranya yang tiba-tiba tumbang ketika berkawad.

Lelaki berkenaan yang sebelum itu berada di khemah tetamu segera berlari tanpa menghiraukan selipar dipakainya yang tertanggal, semata-mata untuk membantu anak saudaranya itu yang terbaring.

Insiden ini disaksikan sempena Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Maktab Penjara Kajang, pagi ini sehingga ramai hadirin mengalirkan air mata menyaksikan detik itu

Lebih-lebih lagi lelaki itu turut menggunakan tubuh tuanya sebagai benteng bagi mengelak anak saudaranya,  Nik Mohamad Adhar Nik Ismadi itu kembali rebah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi, yang berada di lokasi turut sebak melihat ketulusan kasih lelaki itu meskipun yang tumbang itu bukan anak kandungnya sendiri.

Berkongsi detik itu melalui akuan Facebooknya, beliau mengakui banyak yang tersirat di sebalik turutan gambar yang turut dikongsi.

“Ketika anaknya (anak saudaranya) terkujur tatkala berkawad, kerana menahan terik mentari, berlari si ayah (bapa saudara) menerpa dari arah khemah tetamu.

“Sehingga terlucut selipar yang disarung, namun tidak diendahkan, asalkan beliau berada di sisi anak (anak saudaranya) dalam sekelip mata.

“Melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ‘ayah’, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali,” tulis beliau pada keterangan gambar dalam catatan Facebook hari ini.

Berdasarkan foto yang dikongsi, jelas memperlihatkan lelaki itu yang berkopiah dengan berkaki ayam berlari meredah permukaan yang panas terik ke arah anak saudaranya, sebelum memapahnya untuk bangkit kembali.

Turut dikongsi foto lelaki itu menjadikan susuk badannya sebagai benteng di belakang bagi mengelakkan anak saudaranya itu kembali rebah.

Menurut Alexander, daripada tindakan spontan itu, beliau bersama yang lain membayangkan lelaki itu pasti ingin mengusung anak saudaranya itu keluar daripada barisan, namun ternyata sangkaan sedemikian meleset.

“Meskipun badan dimamah usia, anak itu dipapah, bingkas dibantu berdiri sambil badan menjengah lebih separuh abad itu menjadi benteng daripada anaknya (anak saudaranya) kembali rebah,” katanya.

Beliau berkata, apa yang berlaku itu benar-benar menunjukkan kasihnya seorang bergelar ‘ayah’ yang sanggup berkorban jiwa, sambil menggambarkannya sanggup membiarkan jiwa tersiksa dan dengan sepenuh keikhlasan dan rela, asalnya ‘anaknya’ bahagia.

“Kepada mereka yang masih mempunyai insan bergelar ayah, hargai, sayangi dan santunilah selagi hayatnya dikandung badan,” akhirinya pada catatan itu.

(Foto KPDNHEP)

Related posts

Leave a Comment