Ketum, kanabis : KKM tunggu pakar

KUALA LUMPUR 21 Julai  – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan kerangka pendaftaran produk berkaitan ketum dan kanabis selepas menerima pandangan daripada pakar berhubung aspek keselamatannya.

Jawatankuasa Induk Pembangunan Industri Kanabis dan Ketum Bagi Tujuan Perubatan menerima pandangan daripada pakar berhubung aspek keselamatannya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Jawatankuasa Induk Pembangunan Industri Kanabis dan Ketum Bagi Tujuan Perubatan yang dipengerusikannya akan melihat bukti terkini mengenai ketum dan kanabis, terutama bagi tujuan perubatan.

“Selepas jawatankuasa ini mendapat pandangan pakar, sama ada ketum dan kanabis boleh digunakan dengan selamat bagi tujuan tertentu untuk perubatan, maka kita akan keluarkan kerangka bagi pendaftaran produk sedemikian,” katanya.

“Mesyuarat pertama jawatankuasa ini akan diadakan pada Isnin ini dan saya sudah memberi bayangan untuk ketum, kita masih melihat bukti,” katanya.

Bagaimanapun untuk kanabis, ada kemungkinan besar Kementerian akan mengeluarkan kerangka bagi produk yang ada kaitan dengan cannabidiol (CBD) menjelang akhir tahun ini supaya dapat dipertimbang pendaftaran dan penggunaan untuk pesakit tertentu pada tahun depan.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 14 Julai lalu, Khairy memaklumkan, KKM menyasarkan pendaftaran beberapa produk asas kanabis, CBD menjelang tahun depan.

Katanya, kerangka bagi pendaftaran produk itu akan diperoleh tahun ini dan selepas itu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan menilai cadangan berkenaan.

Khairy juga memaklumkan, tiada cadangan mengenai kawalan terhadap ketum di bawah pindaan Akta Racun pada kali ini.

“Bagaimanapun, mitragynine iaitu alkaloid yang terdapat dalam ketum masih tertakluk kepada kawalan sedia ada akta ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment