Australia di ambang ketiga Omicron

SYDNEY: Australia yang kini di ambang gelombang ketiga Omicron yang disebabkan oleh penularan subvarian baru BA.4 dan BA.5 yang mudah berjangkit merekodkan lebih 300,000 kes dalam masa tujuh hari yang lalu.

Pada Selasa, 50,000 kes yang dicatatkan adalah yang tertinggi dalam tempoh dua bulan.

Rakyat Australia yang dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 mencecah paras rekod pada Rabu (20 Julai ) ketika pihak berkuasa menggesa syarikat-syarikat perniagaan supaya membenarkan para pekerja bekerja dari rumah.

Pihak berkuasa Australia juga menyarankan orang ramai untuk memakai pelitup di tempat tertutup dan mendapatkan suntikan penggalak secepat mungkin ketika penularan yang semakin teruk.

Menurut data rasmi negara, kira-kira 5,300 rakyat Australia kini dirawat di hospital akibat jangkitan Covid-19 di mana jumlah tersebut tidak jauh daripada paras rekod 5,390 yang dicatatkan pada Januari berikutan penularan subvarian BA.1.

Jumlah pesakit di wilayah Queensland, Tasmania dan Australia Barat sudah berada pada tahap tertinggi sejak pandemik melanda.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa kelengahan penduduk mendapatkan suntikan dos penggalak boleh memburukkan lagi krisis kesihatan negara itu.

Setakat ini, 95 peratus individu berumur 16 tahun ke atas sudah mendapatkan dua dos suntikan vaksin.

Ia berhasil membantu mengekalkan jumlah kes Covid-19 Australia pada paras bawah 9 juta dan kematian sebanyak 10,845 adalah jauh lebih rendah berbanding banyak negara lain.

Namun hanya 71 peratus penduduk sudah menerima lebih daripada tiga dos suntikan vaksin.

 

Related posts

Leave a Comment