Gelombang haba lonjakkan suhu

LONDON: Gelombang haba melonjakkan suhu di Britain hingga melebihi 40 darjah Celsius buat pertama kali semalam dan melepasi rekod suhu di beberapa kawasan lain di samping berlaku kebakaran hutan di Eropah barat.

Di pinggir London, berlaku beberapa kebakaran kawasan terbuka, dengan satu daripadanya menyebabkan 14 penduduk dipindahkan berikutan kawasan ladang, kediaman dan garaj musnah dijilat api.

Selepas merekodkan suhu malam tertinggi, Jabatan Meteorologi United Kingdom (UK) memaklumkan merekodkan suhu 40.3 darjah Celsius di Coningsby di timur England, dan sekurang-kurangnya 34 lokasi di Britain melepasi 38.7 darjah Celsius yang dicatat di Cambridge pada 2019.

Beberapa pakar berpandangan peningkatan suhu itu berpunca daripada perubahan iklim, dan memberi amaran bahawa situasi lebih buruk akan berlaku.

Ketua Pertubuhan Meteorologi Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Petteri Taalas, berkata gelombang haba kini semakin kerap dan pola itu diramal berterusan sehingga 2060-an, bergantung pada kejayaan usaha menangani isu iklim itu.

“Pada masa depan, gelombang haba seperti ini akan menjadi suatu kebiasaan, dengan suhu ekstrim yang lebih tinggi,” katanya.

Suhu tinggi itu juga menyebabkan beberapa laluan kereta api ditutup sebagai langkah berjaga-jaga, termasuk operasi semua kereta api dari stesen King Cross di London dihentikan manakala sekolah ditutup di beberapa kawasan.

Dengan permukaan jalan raya dan laluan kereta api mencair dan kebimbangan kereta api tergelincir, Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps mengakui kebanyakan infrastruktur Britain tidak dibina untuk bertahan dengan suhu seumpamanya.

Related posts

Leave a Comment