Kes harian meningkat semula

PUTRAJAYA  20 Julai – Jangkitan kes baharu Covid-19 meningkat semula semalam dengan merekodkan 3,902 termasuk empat kes import berbanding 3,080 yang dilaporkan pada hari sebelumnya.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, dengan pertambahan itu,  jumlah keseluruhan kes kini meningkat kepada 4,629,963 dengan jumlah kes aktif pula sebanyak 43,144, meningkat sebanyak 959 kes.

Daripada jumlah itu sebanyak 96.2 peratus atau 41,488 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Sebanyak 3.6 peratus atau 1,568 kes mendapatkan rawatan di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (33), Unit Rawatan Rapi (ICU) yang memerlukan alat bantuan pernafasan (39) dan ICU, tidak memerlukan alat bantuan pernafasan (16).

Terdapat lapan kes kematian dengan satu kes meninggal dunia diluar fasiliti kesihatan (BID) menjadikan sehingga kini jumlah keseluruhan angka korban akibat jangkitan berkenaan ialah 35,870 kes.

Daripada jumlah itu sebanyak 7,609 kes meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Setakat tengah malam tadi, sebanyak 2,935 kes sembuh dilaporkan di negara ini menjadikan jumlah individu pulih daripada jangkitan berkenaan adalah sebanyak 4,550,949 kes.

Mengenai kadar penggunaan ICU di seluruh negara, data menunjukkan sehingga kini ia berada di paras 62.9 peratus dengan 10 negeri mencatatkan penggunaan unit berkenaan melebihi 60 peratus.

Kelantan mencatatkan penggunaan ICU paling tinggi pada kadar 76.6 peratus, diikuti Selangor dengan 74 peratus, Kedah (73.4 peratus), Putrajaya (70 peratus) dan Kuala Lumpur (69.6 peratus).

Negeri Sembilan mencatatkan penggunaan ICU sebanyak 67. 3 peratus, Sabah (65.9 peratus), Johor (65.5 peratus) dan Perak (61,9 peratus).

Related posts

Leave a Comment