SHAH ALAM 17 Julai – Pakatan Harapan (PH) tidak mahu memaksa kerajaan mengadakan pilihan raya umum selepas Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik berakhir pada 31 Julai ini.
Pengerusi PH, Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR berkata, beliau akan bertemu Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob minggu depan untuk berbincang lebih lanjut mengenai MoU antara kerajaan Persekutuan dengan PH itu.
Begitu satu perbincangan dengan DAP dan Amanah akan diadakan bagi membincangkan MoU berkenaan kerana DAP dan PKR mempunyai ahli majlis baharu selepas pemilihan kedua-dua parti yang diadakan baru-baru ini.
“Bagi tafsiran MoU, ia tidak semestinya berakhir pada Julai atau semasa pilihan raya. Jadi kita akan melihat kerana kita tidak mahu dilihat tidak memberi tumpuan kepada masalah rakyat.
“Sebagai contoh, sebaik sahaja kita menamatkannya (MoU), adakah kita memaksa diadakan pilihan raya umum? Kita tidak mahu memaksa kerana terdapat perkara penting yang perlu ditangani,” katanya selepas Kongres Nasional Ke-16 PKR di sini hari ini.
Pada 13 September 2021, kerajaan Persekutuan dan PH memeterai MoU itu bagi membentuk kerjasama dwipartisan merangkumi aspek pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.
