Baddrol Bakhtiar hadapi anak Speaker Dewan Rakyat

GUAR CHEMPEDAK 29 Julai –  Bekas kapten bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar yang ‘beraksi’ buat kali pertama dalam gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berhadapan dengan Mohammed Firdaus Johari yang juga anak kepada Yang Dipertua  Dewan Rakyat,  Johari Abdul.

Baddrol yang mewakili Perikatan Nasional (PN), akan berhadapan dengan Mohammed Firdaus di DUN Gurun yang juga merupakan kerusi yang sebelum ini diwakili Johari.

“Saya berazam mahu buat yang terbaik untuk rakyat, macam mana saya bermain bola sepak di padang dan rapat dengan penyokong bola sepak negeri Kedah, macam itulah saya mahu mencurahkan usaha saya kepada rakyat di negeri Kedah ini sekiranya saya dipilih nanti.

“Perasaan saya memang teruja, dan saya bersyukur, terharu kerana ramai yang hadir pada pagi ini. Semua berjalan dengan lancar dan sebaik menyerahkan borang dan disahkan calon, saya berserah kepada Allah.

Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk bersama dengan rakyat sekitar taman di DUN Gurun untuk memberi kepercayaan kepada penduduk di Gurun dan mereka ada hak untuk mengundi siapa yang mereka pilih,” katanya selepas penamaan calon di Pusat Penamaan Calon Dewan Lestari, Guar Chempedak.

Baddrol berkata, dorongannya untuk menyertai politik bermula dengan perancangan yang dibuat oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor kepadanya sejak setahun lalu.

Inspirasi dalam politik ini semestinya ialah di belakang saya dan idola saya yang kita tahu Menteri Besar Kedah kerana dia memiliki perancangan yang begitu luas dan ke depan untuk pemuda pemudi di Kedah dan menaikkan nama negeri Kedah.

“Dia ada perancangan untuk golongan muda di negeri Kedah ini yang dia selalu cakap ‘the greatest Kedah’ banyak kali dan itu perancangan dia untuk dimanfaat buat anak-anak muda pada masa hadapan.

“Dengan itu juga, saya sanggup korbankan karier saya selama 18 tahun berbakti dalam bola sepak negeri Kedah selama 16 tahun, dan di Sabah selama satu tahun tujuh bulan,” katanya.

Sementara itu, Mohammed Firdaus pula sudah berada dalam bidang politik di Gurun serta aktif dan terbabit dalam PKR di samping sebagai penyelaras pusat perkhidmatan rakyat bagi DUN Gurun.

Mohammed Firdaus berkata, usaha berterusan dalam DUN Gurun yang beliau sedang bergiat aktif hingga kini mahu dikembangkan lagi dengan lebih hebat dalam usaha membantu meningkatkan ekonomi anak muda, sekali gus mengeluarkan golongan yang terkesan dari kelompok kemiskinan.

“Untuk kali ini kita akan tambah nilai program kita dan tertumpu kepada beberapa faktor iaitu aspek kebajikan rakyat di DUN Gurun dan yang kedua, aspek anak muda yang kita akan berikan lebih tumpuan kepada peluang kerjaya anak muda untuk bawa anak muda keluar dari kemiskinan melalui latihan untuk anak muda membabitkan TVET dan lain-lain yang kita akan beri fokus.

“Saya mahu terus menunjukkan politik matang kepada anak muda supaya di luar sana pengundi anak muda dan generasi pelapis baharu dapat melihat betapa matangnya politik yang dibawa dan insya-Allah benda ini akan menjadi satu ikutan kepada anak-anak muda juga,” katanya.

Related posts

Leave a Comment