PH sedia tanding semua kerusi, adakan PRU awal

JOHOR BAHRU 17 Mei – Pakatan Harapan (PH) bersedia meletakkan calon di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dan Negeri Sembilan sekiranya UMNO serta Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk bertanding di semua kerusi semasa pilihan raya negeri akan datang.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH turut membayangkan pihaknya akan bertanding di semua kerusi yang ditandingi BN termasuk di Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.

Presiden PKR itu yang tidak terkejut dengan perkembangan tersebut turut membayangkan kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal sekiranya kemelut hubungan antara parti dalam kerajaan terus meruncing sehingga menggugat kestabilan politik.

Tegasnya gabungan itu akan memberikan jawapan yang tegas terhadap sebarang tindakan yang cuba meretakkan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Hari ini PH mengambil keputusan untuk menjawab dengan tegas. Kalau inilah pilihan mereka (UMNO), PH akan bertanding di semua kawasan di negeri Johor, di Negeri Sembilan, semua kawasan. Dan kita pantau seluruhnya,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini.

Penegasan itu susulan kenyataan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi semalam yang mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor akan datang.

“Sementara ini, kepimpinan pusat masih baik dan harmoni. Tetapi, kalau mereka ambil keputusan bertempur di Johor, hari ini PH ambil keputusan menjawab dengan tegas, PH akan bertanding di semua kawasan

Johor dan Negeri Sembilan, kita lawan semua. Johor sedia? Negeri Sembilan sedia? Lawan tetap lawan,” katanya.

Menurut Anwar, sekiranya pertempuran yang dipilih, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengadakan PRU lebih awal.

“Dalam tempoh terdekat, saya akan adakan rundingan dengan pimpinan PH bukan sahaja di negeri ini, tetapi kalau begini cara kita diperkotak-katikkan (hubungan), mungkin PRU seluruh negara diadakan.

“Keputusan tarikh itu Perdana Menteri yang buat, tetapi biarlah kita putuskan bersama, harus dengar nasihat kawan-kawan juga,” jelasnya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment