KUALA LUMPUR 17 Mac – Perikatan Nasional (PN) terbuka untuk meneroka kerjasama pilihan raya atau dengan mana-mana parti bagi mendepani pilihan raya umum akan datang, sebagai sebuah gabungan politik realistik dan inklusif.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata selain parti politik, kesediaan sama juga dibuka kepada pihak yang berkongsi prinsip dan wawasan sama, selain berminat menjadi rakan strategik PN tanpa menjadi parti komponennya.
Perkara itu diputuskan hasil Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, semalam.
Sehubungan itu, beliau berkata PN akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai wakil parti dalam gabungan untuk memperhalusi idea kerjasama politik ini, terutama bagi memperincikan terma dan syaratnya yang lengkap dan perlu.
Pendekatan ini dipercayai lebih sesuai dengan realiti landskap politik negara, selain mendukung kepentingan kerjasama politik yang konstruktif demi kestabilan negara dan kesejahteraan hidup rakyat yang kini lebih tertekan tanpa jalan keluar yang meyakinkan.
Ia juga dilihat membuka ruang kepada semua pihak dan parti untuk terlibat secara aktif dalam proses politik negara secara lebih bermakna dan sihat menerusi sebuah kerjasama politik nasional yang rasmi, matang dan tertib,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Takiyuddin memaklumkan mesyuarat sama turut memutuskan bahawa keputusan penerimaan MIC sebagai parti anggota PN yang dibuat sebelum ini tidak lagi relevan dan terbatal.
Mengulas lanjut, katanya PN mendapati sehingga kini MIC belum memberikan kata putus berhubung keputusan kemasukannya sebagai parti anggota PN yang dibuat pada 9 Disember 2025 walaupun telah beberapa kali diminta berbuat demikian.
“Ekoran ketiadaan pengesahan itu, selain kenyataan rasmi MIC bahawa ia tidak pernah membuat permohonan rasmi menyertai PN, maka dengan ini ditetapkan bahawa keputusan penerimaan MIC sebagai parti anggota PN yang dibuat sebelum ini malangnya tidak lagi relevan dan terbatal,” katanya.
