Bersedia hadapi kemungkinan selepas keluar PKR

PETALING JAYA 17 Mei – Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengumumkan untuk mengambil alih Parti Bersama Malaysia bersedia menghadapi “apa jua kemungkinan”, sambil menegaskan jika pilihan raya kecil (PRK) diadakan, mereka akan mempertahankan kerusi masing-masing.

Bagaimanapun, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, Perlembagaan Persekutuan menyatakan PRK lazimnya tidak perlu diadakan jika kekosongan kerusi berlaku selepas lebih tiga tahun pilihan raya umum.

Pada masa sama, terdapat juga peruntukan yang membolehkan Speaker memanggil PRK jika kekosongan itu menjejaskan majoriti dalam kerajaan.

Namun dalam situasi sekarang, Rafizi berkata peruntukan itu tidak terpakai kerana kerajaan masih mempunyai majoriti 150 Ahli Parlimen selepas beliau dan Nik Nazmi mengosongkan kerusi mereka.

Bercakap pada sidang media selepas mengumumkan langkah mengambil alih Parti Bersama Malaysia, Rafizi berkata PKR tidak boleh mengambil tindakan terhadap mereka atas dakwaan melanggar akujanji pilihan raya dengan parti tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa akujanji dengan PKR menyatakan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang jika bertukar sokongan kepada parti lain ketika masih bergelar wakil rakyat.

“Sebelum ni tak ada MP yang sanggup kosongkan kerusi. Kami kembalikan mandat kepada rakyat, jadi bila keluar parti Selasa ini, (kami) tak terikat kepada bond (akujanji), sebab itu pilih langkah ini,” kata bekas Menteri Ekonomi itu di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dan Nik Nazmi yang mewakili Parlimen Setiawangsa mengumumkan keluar daripada PKR dan mengosongkan kerusi yang disandang selama ini untuk memimpin Parti Bersama Malaysia atau Malaysian United Party yang didaftarkan pada tahun 2016 di Pulau Pinang.

Turut diumumkan pada majlis khas yang dihadiri kira-kira 800 penyokong itu adalah logo baharu parti itu iaitu kancil bagi menggantikan logo lamanya sebelum ini.

Sementara itu, beliau menyatakan bahawa masih “terlalu awal” untuk mengulas mengenai Parti Bersama dan menilai penerimaan rakyat terhadap parti itu, yang kini mula membuka pendaftaran keahlian.

Rafizi berkata parti berkenaan tidak bercadang membentuk kerjasama dengan mana-mana pihak atau gabungan.

“Kami tidak akan menyertai mana-mana gabungan. Kami tidak terikat untuk bincang dengan orang itu, orang ini. Kami ialah parti berbilang kaum yang boleh bertanding di mana-mana kerusi yang dipegang oleh mana-mana parti,” katanya.

Ditanya mengenai nasib pengundi di kawasan mereka, Rafizi memberi jaminan beliau dan Nik Nazmi akan terus memberikan khidmat kepada rakyat sebaik mungkin, sambil menyatakan pengundi mereka juga dirujuk sebelum pengumuman itu dibuat.

Sementara itu, lima lagi Ahli Parlimen PKR turut hadir dalam majlis berkenaan dan dilihat bergambar bersama Rafizi dan Nik Nazmi.

Mereka ialah Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Kesavan Subramaniam (Sungai Siput), dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).

Turut diilihat hadir kemudiannya ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chun.

Related posts

Leave a Comment