PH tiada kerjasama dengan pengkhianat

SHAH ALAM 17 Julai – Tidak akan ada kerjasama politik Pakatan Harapan (PH) dengan pihak yang pernah mengkhianati mandat mereka sendiri, selain tiada kesungguhan kepada agenda reformasi, kata Pengerusi PH, Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun pihaknya tidak berdepan masalah sekiranya perbincangan berkaitan hal khemah besar itu berjalan dalam kerangka ditetapkan gabungan itu.

“Pihak yang bangkitkan (khemah besar) itu bukan saya, tetapi ada didengar beberapa usaha untuk perluaskan. Saya jawab sebagai PKR, peranan kita untuk perkukuhkan PKR dan induknya adalah PH.

“Soal untuk ada perbincangan dengan pihak lain itu tiada masalah, tetapi khemah besar dalam erti kata menjalin kesefahaman dan pakatan dengan golongan yang sudah khianat dan jelas tidak mewakili agenda reformasi, itu tentunya tidak dapat diteruskan,” katanya selepas Kongres Keadilan PKR 2022 di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) di sini hari ini.

Konflik dalaman PH tercetus pada Februari 2020 menyaksikan Bersatu ditunjangi Muhyiddin Yassin meninggalkan gabungan itu, manakala beberapa Ahli Parlimen PKR keluar daripada parti sehingga menyebabkan kerajaan ditunjangi PH tumbang.

Anwar berkata, tidak mungkin PH khususnya PKR bekerjasama dengan watak yang sudah menyebabkan mandat rakyat diketepikan dan kerajaan PH tumbang.

“Orang ini sudah melakukan jenayah yang besar dari segi perjuangan sebab dia menyebabkan jatuhnya kerajaan dan mandat kita dikhianat.

“Ini bukan soal peribadi semata-mata,” katanya merujuk dakwaan kononnya ada usaha untuk menerima kembali beberapa pemimpin PKR yang sebelum ini khianat kepada parti itu.

Menyentuh persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Anwar berkata kepemimpinan baharu PKR yang memenangi pemilihan adalah barisan pelapis parti yang kini bakal dipertanggungjawab menggerakkan jentera parti.

“Kalau barisan pimpinan keseluruhannya sebenarnya sebahagian besar adalah baharu dan mengambil alih seluruh kuasa dan jentera parti yang pertama kali mewarisi generasi kedua.

“Maknanya (generasi) yang awal itu sudah berakhir dan tentunya mereka akan tetap bantu. Bagi saya, jelas generasi penerus ini sesuatu yang unik dan ini perubahan yang radikal serta disambut baik perwakilan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan penggulungan, Anwar memberi jaminan calon yang akan dipilih oleh parti untuk PRU-15 akan melalui proses penilaian ketat bagi mengelak siri kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini berulang.

Related posts

Leave a Comment