2 kes import subvarian Omicron BA.2.75

SINGAPURA 17 Julai – Sebanyak dua kes import Covid-19 dengan subvarian Omicron BA.2.75  disahkan di Singapura setakat Khamis lalu.

Menurut laporan Mediacorp, Kementerian Kesihatan (MoH) menyatakan kedua-dua individu berkenaan melawat India baru-baru ini.

Mereka mengasingkan diri selepas disahkan positif Covid-19 dan sudah pulih sepenuhnya.

Subvarian BA.2.75, yang digelar ‘Centaurus’, mula dikesan di India pada awal Mei dan sejak itu, ia dilaporkan di hampir 10 negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Jerman dan Kanada.

“Buat masa ini tiada bukti untuk menunjukkan bahawa BA.2.75 menyebabkan penyakit lebih serius berbanding versi asal Omicron,” kata MoH.

Setakat Khamis, BA.2.75  disenaraikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai subvarian Omicron di bawah pemantauan.

Sementara itu, setakat pukul 12 tengah hari semalam, MoH melaporkan 9,153 kes baharu Covid-19, iaitu 8,691 jangkitan tempatan dan 462 ‬kes import menjadikan jumlah keseluruhan kes kini meningkat kepada 1,589,099.

Daripada kes baharu itu, sebanyak 8,346 iaitu 7,929 kes tempatan dan 417 kes import adalah di bawah kategori Protokol 2, iaitu pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Sebanyak 807‬‬‬‬‬ kes lagi disahkan menerusi ujian PCR iaitu 762 adalah jangkitan tempatan, manakala 45 adalah kes import.

Tiga lagi kematian dilaporkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan 1,450 orang meninggal dunia setakat ini.

Sementara itu sebanyak 771 pesakit masih dirawat di hospital, berbanding 760 semalam di mana 98 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa dan 17 dipantau rapi di ICU manakala 16,357 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Related posts

Leave a Comment