Kanada lulus vaksin bayi 6 bulan

OTTAWA: Health Canada mengumumkan pemberian vaksin Covid-19 keluaran Moderna Inc kepada bayi berumur enam bulan, pelalian Covid-19 yang pertama diberikan kepada golongan kanak-kanak berusia bawah lima tahun di negara ini.

Kanada sejak Mac lalu menawarkan vaksin Spikevax keluaran Moderna kepada kanak-kanak berumur lima tahun ke atas.

Health Canada dalam kenyataan berkata, perkembangan terbaru itu menyaksikan kira-kira 1.7 juta kanak-kanak lagi kini layak menerima pelalian dalam usaha mengekang penularan virus berkenaan.

Moderna mengemukakan permohonan sejak akhir April lalu untuk memperluas golongan yang layak menerima vaksin keluarannya.

Selepas melakukan kajian saintifik yang teliti dan bebas terhadap bukti, Health Kanada berjaya menentukan bahawa manfaat vaksin ini kepada kanak-kanak berumur antara enam bulan hingga lima tahun, adalah melebihi potensi risiko.

Pihak berkuasa kesihatan itu sekali gus mengesyorkan kanak-kanak berusia bawah lima tahun disuntik satu per empat daripada kadar dos yang diluluskan kepada individu berusia 12 tahun ke atas.

Sementara itu, Perdana Menteri, Justin Trudeau, melalui Twitter selepas kelulusan itu berkata, vaksin adalah selamat serta berkesan, dan ia kekal sebagai benteng terbaik bagi melindungi daripada jatuh sakit teruk serta kemasukan ke hospital.

“Oleh itu, tolong dapatkan suntikan vaksin untuk diri serta anak-anak anda,” katanya.

Setakat ini, kira-kira 82 peratus daripada seluruh rakyat negara ini sudah menerima suntikan dua dos pelalian Covid-19 termasuk lebih 40 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang sudah lengkap vaksinasi.

Related posts

Leave a Comment