Catatan 26 Ramadan

Ramadan menghampiri penghujungnya
(Menyelak kembali tulisan Selak 11 Jun 2018)

HARI ini, hari ke-26 umat Islam di Malaysia berpuasa. Berbaki tiga atau empat hari lagi untuk menyelesaikan sebulan berpuasa. Biasanya waktu ini, pelbagai kesibukan dapat dilihat sama ada di bandar atau desa. Ada yang sibuk membuat persiapan untuk berhari raya di kampung halaman masing- masing. Lazimnya, warga Kuala Lumpur akan beransur-ansur meninggalkan ibu negara. Berapa ramai dalam kalangan warga kota yang tergolong sebagai orang yang tidak berminat pulang ke kampung?

Tidak ramai yang akan kekal di tengah bandar untuk berhari raya kecuali mereka tidak ada pilihan kerana terpaksa bertugas. Mereka juga kemungkinan tidak ada kampung, tidak pernah kenal kampung kerana dilahir dan dibesarkan di kota.

Itu suasana pada tahun lalu atau tahun-tahun sebelumnya. Tahun 2020 atau Ramadan 1441 sudah terjadi sebaliknya. Covid-19 jadi penghalangnya. Yang di bandar akan kekal di bandar dan yang di kampung pula akan terus berada di kampung. Tidak pasti sampai bila. Adakah akan berakhir pada 9 Jun ini?

BALIK KAMPUNG

Masih ramai yang cuba-cuba balik kampung. Nasib baik terlepas, jika tidak, perlu berpatah balik atau dikompaun. Boleh saja mencuba, risikonya tanggung sendiri. Sudah berkali-kali kerajaan peringatkan tetapi masih ada yang ‘keras kepala’ atau orang utara sebut ‘ketegaq’. Di Indonesia, mudik lebaran sudah terhalang menjelang bulan Ramadan. Maknanya bukan sahaja rakyat Malaysia terhalang. Justeru tidak ada pilihan, kecuali kekal di mana anda berada. Maka hari raya tahun ini tidak timbul rungutan sesak di plaza tol atau Hentian Rehat dan Rawat. Tidak timbul soal pengangkutan awam tidak cukup sehingga perlu bas tambahan. Tidak timbul soal tiket kereta api habis ke semua destinasi. Pendek kata 2020 tiada lagi kisah perjalanan balik kampung.

Kali ini akan ada cerita kenderaan terpaksa berpatah balik apabila perjalanan rentas negeri tidak mendapat keizinan pihak berkuasa. Ketiadaan surat sokongan bagi membolehkan perjalanan menyebabkan kenderaan terpaksa berpatah balik. U-turn  sahaja  jika diarah asal tidak dikompaun. Mungkin akan ada cerita polis bertandang ke rumah pada hari raya untuk melihat suasana. Maka tinggallah menanti atuk, tok wan, nenek, opah, pak long/mak long, pak lang/mak lang, pak ngah/mak ngah, pak su/mak su, pak cik/mak cik dan sebagainya. Mereka di kampung  sunyi tanpa kepulangan anak menantu dan cucu.

MALAM TERAKHIR

Pecutan 10 malam terakhir menghampiri penghujungnya. Madrasah Ramadan akan ditutup beberapa hari lagi. Sama ada Lailatulqadar telah mengambil tempatnya atau belum, tanggungjawab kita sebagai orang Islam adalah untuk meneruskan pengisian malam yang berbaki ini dengan meningkatkan ibadah. Bersungguh-sungguhlah memenuhi malam yang amat bernilai ini. Selain solat sunat Tarawih, isikan dan sibukkan diri serta keluarga dengan iktikaf, qiamullail, solat tahajud, taubat, hajat dan witir, tadarus al-Quran serta bersedekah. Itulah amalan penting yang perlu diberi tumpuan tanpa membezakan malam genap atau ganjil.

Ibarat perlawanan bola sepak, biarlah kita menjadi anggota pasukan yang layak sehingga memasuki peringkat akhir.

Tamatkan pusingan akhir Ramadan ini dengan cara yang terbaik. Tidak ada sesiapa yang dapat menjangka hayatnya untuk bertemu Ramadan akan datang. Justeru, manfaatkan saki baki malam terbaik ini untuk mencari keampunan dan reda Allah SWT.

Related posts

Leave a Comment