PKR tanding semua kerusi menang 2018

SHAH ALAM 15 Julai – PKR memutuskan untuk terus bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, parti itu akan berunding dengan rakan Pakatan Harapan (PH) untuk menambah bilangan kerusi sedia ada, bagi tujuan memperkukuh kedudukan PKR dalam PH.

“Ini keputusan yang dibuat dalam temu rapat parti beberapa bulan lalu. Kita juga bersetuju berunding dengan parti sahabat PH untuk dapat kerusi tambahan bagi membolehkan kita muncul sebagai parti terbesar dan terkuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) di sini, hari ini.

Mengulas isu kerusi pilihan raya pada sidang media selepas itu, Saifuddin berkata, PKR sudah mempunyai sasaran jumlah kerusi untuk ditandingi dalam PRU, bagaimanapun ia masih tertakluk persetujuan dalam PH.

Beliau berkata, agihan kerusi itu sekali gus menyaksikan tidak akan ada satu parti yang akan menguasai secara majoriti mudah jumlah kerusi yang ditandingi atau sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen.

“Kalau kita duduk dengan saf pembangkang, kita lihat ‘patten’ (corak) dalam PRU terdahulu, paling busuk kita (PH) ada 68 kerusi di semenanjung, paling tinggi 95 kerusi (boleh menang). Maknannya dalam PRU akan datang, tiada ‘single’ (satu) parti yang boleh menang mudah.

“Kita mesti menjadi parti terkuat dalam blok pembangkang. Jadi kami ada jumlah nombor kerusi disasarkan, tetapi kami tak boleh umum sebab mendahului rundingan dengan parti sahabat (DAP dan Parti Amanah Negara),” katanya.

PKR pada PRU 2018 lalu menang di 48 kerusi Parlimen dan 73 kerusi DUN.

Terdahulu ketika ucapan perasmian itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata, idealisme perjuangan PKR hanya akan dapat difahami sekiranya organisasi sedia ada mantap dan tidak berpecah belah.

“Organisasi yang kucar kacir mana mungkin kita boleh faham. Rukun pertama dalam perjuangan ini kena jadikan parti ini sebagai organisasi mantap. Barulah dia boleh terjemah idealisme perjuangan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa ukuran kejayaan reformasi bukan hanya dikira dengan berapa kerusi sudah menang dan berapa ramai menteri Kabinet dan Menteri Besar.

“Ramai menteri (dalam Kabinet) maknanya berjaya reformasi.. (ini) pun salah.

Kejayaan sebenar reformasi apabila kita ada kuasa politik, kita perkenal melalui dasar negara yang akhirnya rakyat dapat faedah dan manfaat. Itu kejayaan sebenar reformasi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment