Takiyuddin akui draf MoA jawatan TPM

BUKIT GANTANG 12 Julai –  Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan mengakui membuat draf perjanjian berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) seperti mana yang dimaklumkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin.

Katanya, pembabitan beliau dalam draf perjanjian itu dilakukan atas kedudukannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) pada waktu itu dan bukan kapasiti parti.

“Saya adalah bekas Menteri Undang-Undang, jadi semua yang berkaitan dokumen undang-undang saya akan diminta membuat berkenaannya, bukan kerana saya (semata-mata) adalah Takiyuddin.

“Ia (isu TPM) bukan satu perjanjian, sebaliknya dipanggil sebagai Memorandum Perjanjian (MoA),” katanya ketika menghadiri Program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (Zon Tengah) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di Padang Dewan Serbaguna Sungai Kerang, Trong, di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun ‘perjanjian’ yang dimaksudkan antara Muhyiddin dan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob itu secara terperinci ada menyebut mengenai jawatan TPM, namun ia tidak mensyaratkan pelantikannya dimestikan memandangkan klausa mengenai TPM tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Sebaliknya, kewujudan jawatan TPM menerusi Perdana Menteri sebelum dari kerajaan ditadbir Ismail Sabri adalah melalui perkara dinamakan sebagai konvensyen iaitu suatu amalan yang tiada dalam perlembagaan.

“Justeru, pelantikan TPM berada pada kehendak Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Jadi bila tiada dalam perlembagaan, maka terpulang kepada YDPA sama ada hendak lantik TPM atau terpulang (sebaliknya). Jadi, tidak boleh kata wajib melantik TPM walaupun Perdana Menteri berhak atas hak prerogatifnya ingin melantik TPM jika beliau berasa memerlukannya,” katanya.

Ditanya mengenai kewujudan MoA itu berada dalam pengetahuan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli

bagaimanapun mengakui beliau sendiri tidak pasti sama ada Abdul Hadi tahu mengenainya atau sebaliknya.

“Tidak semua orang tahu mengenai ‘perjanjian’ (MoA) itu. Jadi kena tanya Tok Guru (Abdul Hadi) sendirilah dia tahu atau tidak sebab dia bukan orang yang tandatangan MoA berkenaan.

“Mungkin kenyataannya (Abdul Hadi) sebelum ini (mengenai tidak wujud perjanjian Muhyiddin-Ismail Sabri) adalah jawapannya secara spontan apabila ditanya yang mana dia mungkin tidak tahu,” katanya.

Semalam, media melaporkan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu meminta Abdul Hadi supaya merujuk kepada Takiyuddin yang didakwanya sebagai ‘draftman’ atau individu bertanggungjawab menggubal draf mengenai kewujudan perjanjian antara Muhyiddin dan Ismail Sabri berkaitan jawatan TPM.

MoA itu dilapor antara lain turut menyentuh mengenai bilangan jawatan dalam Kabinet khususnya mengenai bilangan kuota parti.

Related posts

Leave a Comment