2,012 kes harian Brunei Darussalam

BERAKAS 12 Julai – Brunei Darussalam merekodkan 2,012 kes jangkitan baharu Covid-19 hari ini manakala purata kes harian dalam tempoh tujuh hari lalu pula sebanyak 1,667, kata Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar.

Katanya, daripada jumlah kes baharu itu, 2,001 kes adalah hasil ujian ART yang dimuat naik ke aplikasi BruHealth manakala 11 lagi hasil 244 ujian makmal RT-PCR dalam tempoh 24 jam.

Bercakap pada sidang media situasi Covid-19 di Brunei Darussalam hari ini, beliau berkata, 99 peratus kes yang dikesan minggu ini adalah dalam kategori 1 atau 2 dan tidak memerlukan rawatan hospital.

Menurut Dr. Md Isham terdapat dua kes dalam Kategori 5, iaitu mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU) dan tiga kes  lagi dalam Kategori 4, yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Katanya, sebanyak 1,492 kes sembuh baharu direkodkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan 175,115 orang pulih.

Mengenai program vaksinasi, beliau memberitahu, sebanyak 73.7 peratus daripada penduduk negara itu telah mendapatkan dos ketiga vaksin Covid-19 dan 4.2 peratus dengan dos keempat.

Bagi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun sebanyak 77.2 peratus telah mendapatkan dos kedua, dan 51.3 peratus remaja 12 hingga 17 tahun telah mendapatkan dos ketiga vaksin Covid-19.

Related posts

Leave a Comment