Watikah pelantikan tanpa Tajuddin

KUALA LUMPUR 12 Julai – Ketiadaan nama Tajuddin Abdul Rahman untuk menerima watikah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia hari ini menimbulkan persoalan mengenai status Ahli Parlimen Pasir Salak itu.

Ada laporan mengatakan, penganugerahan watikah kepada Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia ditangguhkan ke suatu tempoh lain, bukan digugurkan.

Tajuddin pada Jun lalu digugurkan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan berikutan itu, beliau mengadakan satu sidang media yang mendakwa berlaku pelbagai ‘kepincangan’ dalam kepemimpinan Presiden UMNO.

Sebelum ini Tajuddin juga memaklumkan penerimaan watikah ditangguhkan berikutan Yang di-Pertuan Agong gering.

Bagaimanapun di Istana Negara hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada empat ketua perwakilan Malaysia ke luar negara.

Mereka ialah Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Lim Juay Jin, Duta Besar Malaysia ke Jepun Shahril Effendi Abd Ghany, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin.

Related posts

Leave a Comment