14,305 jemaah Malaysia selesai ibadah

MAKKAH 12 Julai – Kesemua 14,305 jemaah Malaysia selesai melaksanakan ibadah haji tanpa sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Menerusi laporan Operasi Tanah Suci Tabung Haji (TH), daripada jumlah tersebut seramai 5,795 jemaah meninggalkan Mina semalam, selepas melakukan nafar awal manakala selebihnya pada hari ini.

Jemaah haji yang telah berada di Makkah turut dibawa melakukan ibadah tawaf dan saie, bagi melengkapkan ibadah itu selain wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan melontar jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Berdasarkan kuota yang diperuntukkan kepada TH, seramai 14,306 jemaah telah menerima tawaran mengerjakan rukun Islam kelima itu, tetapi seorang jemaah lelaki berusia 62 tahun telah meninggal dunia pada 25 Jun, ekoran jangkitan kuman.

Selain itu, bagi memastikan operasi membawa jemaah dari Mina ke Makkah berjalan lancar, sebanyak 110 buah bas telah digunakan bermula 6.30 pagi hingga 12 tengah hari, bermula semalam.

Jemaah haji sebelum ini telah bergerak ke Arafah bermula 7 Julai (8 Zulhijjah), kemudiannya pada 9 Zulhijjah berangkat ke Muzdalifah dan seterusnya bergerak ke Mina untuk bermalam di sana bagi melaksanakan ibadah melontar.

(Foto Haramain Sharifain- suasana 12 Julai)

Related posts

Leave a Comment